Federal Oats Mills labur RM120 juta bina kemudahan baharu

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Federal Oats Mills Sdn. Bhd. (FOMSB) yang merupakan pengeluar produk berasaskan oat melabur RM120 juta bagi membina kemudahan baharu di Zon Hub Makanan Halal Antarabangsa Pulau Pinang, Penang Science Park di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS).

Kemudahan kilang baharu tersebut adalah untuk menampung usaha pihak berkaitan mengembangkan kapasiti pengeluaran bagi
memenuhi permintaan yang semakin meningkat di bawah jenama produk, Kapten Oats.

Pengarah Eksekutifnya, Michael Chew berkata, kemudahan tersebut mampu menghasilkan pengeluaran sehingga 25 tan, iaitu empat
hingga lima kali ganda daripada pengeluaran yang dihasilkan kilang di Mak Mandin Industrial Park kini.

“Kilang ini akan dibina di atas tanah seluas 6.7 ekar, dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

“Menurut penyelidikan Zion Market Research, ukuran pasaran global untuk produk oat dijangka mencecah USD2.5 bilion menjelang tahun 2022,” ujarnya pada Majlis Pecah Tanah FOMSB di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon, Dato’ Loo Lee Lian (Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, iP), Chew Soo Eng (Pengarah Urusan FOMSB) dan Tan Kim Choo (Pengurus Besar FOMSB).

FOMSB merupakan satusatunya kilang penghasilan bijirin di Asia Tenggara yang mana produknya dieksport ke lebih 35 negara merangkumi Asia Tenggara, Asia Selatan, Timur Tengah, Afrika dan China.

Mengulas lanjut, Michael memberitahu, FOMSB bakal mempunyai kira-kira 100 kakitangan, termasuk jurutera mahir bagi memberikan tumpuan kepada penyelidikan serta pembangunan produk.

“Selaras dengan trend global ke arah pembuatan pintar dalam era digital baru Revolusi Perindustrian Keempat, kemudahan ini disesuaikan dengan reka bentuk terkini dengan sistem pengeluaran dan pembungkusan automatik sepenuhnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyatakan bahawa Hub Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH) kini merupakan hab (halal) kedua
terbesar dalam negara selepas Selangor.

“Industri halal dan makanan menunjukkan pertumbuhan berterusan di Pulau Pinang.

“Pada 2016, Harvard Business Review menjangkakan permintaan terhadap makanan akan meningkat di antara 59 hingga 98 peratus menjelang 2050.

“Manakala, industri halal dijangka akan mencecah USD3.5 trilion,” kata beliau.