Festival Kari Dunia meriahkan PIHEC 2015

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi pertama di peringkat antarabangsa untuk menganjurkan Festival Kari Dunia sempena pengajuran Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2015 (PIHEC) Ke-6 pada 30 Januari hingga 1 Februari 2015 bertempat di Subterranean Penang International Convention & Exhibition Center (SPICE).

Perkara tersebut diumumkan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.

Abdul Malik berkata, Pulau Pinang merupakan penyertaan sulung destinasi festival tersebut selain panganjurannya di United Kingdom selama empat tahun berturut-turut sebelum ini.

“Kita amat berbesar hati apabila penyertaan sulung festival berprestij ini bakal diadakan di Pulau Pinang.

“Ianya amat bertepatan.

 “Memandangkan makanan serta masakan Pulau Pinang terkenal dengan rempah ratusnya, masakan kari dan pelbagai yang lain seperti laksa di peringkat antarabangsa,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas Festival Kari Dunia, Zulfi Karim.

Festival berkenaan adalah berasal dari Bradford iaitu sebuah bandar rempah ratus terbesar di United Kingdom.

Menurut Abdul Malik, festival tersebut bukan saja mempromosikan pelbagai keunikan kari, tetapi, rempah-ratus dari seluruh dunia akan digunakan oleh chef antarabangsa dalam demonstrasi masakan mereka.

“Chef-chef antarabangsa dari United Kingdom dan Asia akan menampilkan gabungan kemahiran gastronomi masakan membabitkan kedua-dua hemisfera Barat dan Timur,” ujar beliau.