Fiesta Hebat Februari kini di Pulau Pinang

Oleh: PENANG GLOBAL TOURISM

TAHUN Melawat Pulau Pinang 2015 atau Visit Penang Year 2015 merupakan Tahun Pesta. VPY2015 bermula dengan Fiesta Hebat Februari atau Fabulous February Fiesta yang padat dengan pelbagai acara menarik yang percuma. Pada 1 Feb, festival filem singkat terbesar di dunia, Tropfest South East Asia, kembali ke Pulau Pinang untuk kali kedua. Pemenang pertandingan filem singkat ini berpeluang menerima hadiah sebanyak USD12,000.

Seterusnya pada 3 Feb, beribu-ribu penganut agama Hindu memberi penghormatan kepada Dewa Murugan semasa sambutan Hari Thaipusam. Saksikan paparan keimanan yang dinamik di mana badan dan muka mereka dicucuk dengan pancang untuk menjunjung kavadi yang berat sepanjang perjalanan ke kuil di atas bukit dan mendaki 500 anak tangga.

Selepas itu, pada 19 dan 20 Feb sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang meriah dipenuhi irama gendang. Melodi ini akan mengiringi tarian singa yang berwarna-warni dan paling akrobatik dan disiplin di sekitar bandar George Town. Sejurus itu, perayaan sambutan hebat Tahun Baru Hokkien dapat disaksikan di jeti-jeti klan di Pengkalan Weld pada 26 Feb. Beratus-ratus tanglung menghiasi jeti- jeti ini, memberi keindahan yang unik sementara perarakan dan konsert- konsert diadakan juga.

Di antara kedua-dua sambutan tahun baru Cina ini, ialah Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang, pada 21 dan 22 Feb. Ini adalah kali pertama acara ini diadakan di Pulau Pinang. Ia menjanjikan satu pengalaman yang unik di samping memberi peluang kepada para pengunjung menyaksikan 15 belon udara panas di Padang Polo, Pulau Pinang.

Pulau Pinang sememangnya tempat di mana ‘pesta dan perayaan tidak berhenti-henti’ dan Fiesta Hebat Februari memang memastikannya. Dapatkan informasi yang lanjut di mypenang. gov.my/vpy ataupun #mypenangvpy untuk gambar-gambar dan ulasan secara langsung.