Forum @CAT Penang harap lonjak wanita dalam tekno-keusahawanan

PENGKALAN KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap program-program menggalakkan golongan wanita menceburi bidang teknokeusahawanan anjuran @ CAT Penang di Kafe Sains Pulau Pinang atau Penang Science Cafe (PSC) mampu melonjakkan lagi kecemerlangan gender itu dalam bidang perniagaan dalam talian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Women, Technology & Entrepreneurship di sini baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) berhasrat untuk memberi kuasa, memberi inspirasi dan meraikan wanita yang melonjak kemajuan dalam kerjaya mereka.

“Sumbangan para usahawan wanita dalam landskap ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia tidak dapat dinafikan.

“Hari ini, wanita yang mengurus keluarga dengan kerjaya kelihatan begitu terbuka dan berupaya mengendalikan perniagaan secara bebas,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan ketika merasmikan forum itu.

Ketua Pegawai Informasi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Chang Wing Mow; Pengarah Program @ CAT Penang, Howie Chang dan Pengarah Urusan ‘Girls In Tech Malaysia’, Nadira Yusoff turut sertai forum tersebut.

Menurut Guan Eng, ketika ini didapati seakan masih sedikit usahawan wanita di peringkat antarabangsa berbanding bilangan usahawan lelaki.

“Berdasarkan laporan Trends Talent Global 2016, hanya 30 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam industri teknologi tinggi diwakili oleh wanita.

“Laporan lain dari Persatuan Audit dan Kawalan Sistem Maklumat (ISACA) menyatakan bahawa sekitar 48 peratus wanita dalam bidang teknologi dikatakan mengalami kekurangan mentor wanita, manakala 42 peratus mendakwa bahawa tidak ada model wanita yang memainkan peranan penting dalam industri teknologi,” jelasnya.