Forum CEO FMM 2017 sasar 4,000 penyertaan, berlangsung 8 April

Admin

SEBERANG JAYA – Persekutuan Pekilangpekilang Malaysia (FMM) Negeri Pulau Pinang bakal menganjurkan Forum CEO FMM 2017 pada 8 April ini, dengan mensasarkan 4,000 penyertaan daripada penggiat industri, pelabur, pekerja mahir, kakitangan kerajaan, pelatih serta pelajar.

Pengerusi FMM Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock berkata, Ketua Menteri (Pulau Pinang) dijangka menyampaikan ucaptama dalam forum bertemakan ‘Future Pillars of Our Nation’ yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) nanti.

“RM500 untuk satu tiket penyertaan, dan percuma satu tiket untuk lima tiket pendaftaran.

“Setiap tiket yang dibeli akan memberi CSR (tanggungjawab sosial korporat) kepada dua pelajar atau pelatih kerana penganjur merancang untuk membawa pendedahan forum ini kepada 2,500 peserta daripada kalangan pelatih industri dan pelajar-pelajar.

“Rakyat Pulau Pinang selalu bercakap mengenai peri penting mencintai Pulau Pinang… (maka) apabila kita (FMM) memberi lebih (manfaat melalui CSR), kita yakin akan mendapat lebih (pulangan untung keberkatan),” jelasnya pada sidang media promosi forum tersebut di Wisma FMM Pulau Pinang di sini 24 Februari lalu.

Hadir sama, Pengarah Penganjur Forum CEO FMM 2017, Lim Wei Yee; anggota FMM Pulau Pinang, Jimmy Ong; Pengarah Wilayah Pulau Pinang & Kedah OCBC Bank, Cheah Hak Tee; Pengarah Bahagian Perniagaan NationGate Solution (M) Sdn. Bhd. (NationGate), Foong Chee Leong dan Pengarah Sumber Manusia & Bahagian Pentadbiran NationGate, David Lim Kee Beng.

Menurut Eng Hock, penganjuran tersebut merupakan yang kali kedua selepas forum serupa berjaya dianjurkan pada tahun 2015.

Beliau memberitahu, Presiden FMM, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai yang juga Pengerusi Eksekutif Top Glove Sdn. Bhd.; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Pengerusi Alangka-Suka Hotels & Resorts Berhad serta Holiday Villa Hotel & Resorts, Tan Sri Azman Shah Haron; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank (Malaysia) Berhad, Ong Eng Bin; Presiden dan CEO ViTrox Corporation, Chu Jenn Weng serta Presiden dan CEO Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff dijangka hadir sebagai panel pembentang dalam forum sehari mulai jam 8 pagi hingga 5 petang berkenaan.

Tambah Eng Hock, mantan Presiden FMM, Tan Sri Saw Choo Boon yang juga Penasihat Heineken Malaysia Berhad akan menjadi moderator forum pada sesi pagi; manakala sesi petang, Michel Van Crombrugge (Pengurus Negara Paramit Malaysia Sdn. Bhd.).

“Ikon sukan negara, Mohd. Faiz Subri yang memenangi Anugerah PUSKAS FIFA 2016 turut dijemput muncul bersama-sama kita dalam forum ini nanti,” jelasnya lanjut.

Sebarang pertanyaan, hubungi Saguna menerusi emel, [email protected] atau Owe Yean Roei ([email protected]) atau atas talian, 04 – 399 2057 atau faksimili 04 – 399 4863. Pendaftaran lengkap peserta mesti dibuat sebelum 24 Mac ini.