Gaji bomba wajar dinaikkan

Admin

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

 

PADA sidang Parlimen yang lalu, saya telah mencadangkan penyelarasan skala gaji pegawai bomba dengan pegawai polis, memandangkan pasukan bomba – sebagaimana pasukan polis – kerap terdedah kepada risiko tinggi dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mereka.

Namun demikian, jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said pada 14 Mac yang lalu menyatakan bahawa kerajaan tidak setuju dengan cadangan ini.

Menurut Dato’ Sri Azalina, “kerajaan telah memutuskan bahawa gaji pegawai dalam Perkhidmatan Polis dan Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia hendaklah lebih tinggi daripada pegawai Perkhidmatan Awam Am.”

Justeru, “walaupun pegawai bomba diklasifikasikan sebagai jawatan beruniform, namun perkhidmatan tersebut termasuk dalam Perkhidmatan Awam Am…. Oleh yang demikian, dengan mengambil kira prinsipprinsip yang berkuat kuasa serta skop fungsi tugas yang berbeza, skala gaji pegawai bomba tidak boleh diselaraskan dengan gaji pegawai polis.”

Syarat kelayakan hampir sama tetapi gaji berbeza

Semakan dengan laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mendapati bahawa gaji permulaan bagi konstabel polis gred YA1 ialah RM1,014 dengan kadar kenaikan gaji RM100 setahun, manakala gaji permulaan bagi pegawai bomba gred KB17 ialah RM936 dengan kadar kenaikan gaji RM95 setahun.

Malah, gaji permulaan pegawai bomba yang amat rendah ini adalah kurang daripada paras gaji minima kebangsaan yang bakal berkuatkuasa pada 1 Julai tahun ini, iaitu RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia.

Tambahan kepada itu, perbezaan di antara gaji pokok jawatan aras permulaan (entrylevel) bomba dan polis ini adalah sebanyak RM936 setahun tanpa mengira kenaikan gaji, walaupun kedua-duanya mempunyai syaratsyarat kelayakan yang tidak jauh berbeza.

Semakan semula gaji diperlukan

Saya percaya tiada sesiapa pun akan menafikan bahawa tuntutan tugas anggota bomba sangat mencabar dan berisiko tinggi. Malah, sebagaimana yang kita maklum, pasukan bomba bukan hanya terhad kepada kerja-kerja memadam kebakaran yang secara sendirinya sedia berisiko tinggi, tetapi mereka juga terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (search and rescue). Adalah sukar untuk membayangkan bagaimana kita mampu berdepan dengan bencana-bencana seperti tanah runtuh, kebakaran hutan, banjir besar yang melanda saban tahun dan segala musibah lain tanpa kehadiran pasukan bomba.

Di samping itu juga, pasukan bomba juga sentiasa dikerah dalam apa juga keadaan, termasuk menebang pokok tumbang, menangkap ular hinggalah menyiram air ke atas kanakkanak sebelum berkhatan. Pendek kata, pasukan bomba mempunyai peranan yang besar dan erat dalam masyarakat serta melangkaui isuisu kecemasan atau bencana.

Maka, atas pertimbangan ini, saya merasakan adalah perlu untuk skala gaji pasukan bomba ini disemak semula. Mereka seharusnya diangkat sama tinggi kedudukannya dengan pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Setidaknya, pasukan bomba berhak untuk menerima semakan gaji permulaan yang terlalu rendah. Adalah sungguh tidak munasabah bahawa wirawanwirawan negara yang berbakti tidak mengira siang dan malam atau hujan dan panas ini dibayar dengan nilai di bawah paras gaji minima kebangsaan.

Semakan skala gaji pasukan bomba juga sudah tentu akan menjadikan kerjaya ini lebih menarik kepada generasi muda dan pada masa yang sama membantu pasukan bomba memantapkan keanggotaan pasukan mereka. Oleh itu, saya ingin menggesa kerajaan agar menyemak semula skala gaji pasukan bomba agar lebih mencerminkan sumbangan dan pengorbanan mereka kepada kita semua.