Gangguan psikologi jejas upaya kekal hubungan – Dr. Jayabalan

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan memberitahu bahawa golongan wanita didapati mengalami 40 peratus lebih banyak masalah kesihatan mental disebabkan tekanan perasaan berbanding lelaki.

“Gangguan psikologi seperti kemurungan adalah 20 hingga 40 peratus lebih biasa dalam kalangan wanita berbanding lelaki disebabkan kepelbagaian tanggungjawab seperti mengasuh anakanak, suri rumah dan bekerja.

“Secara tidak langsung, masalah ini boleh memberi kesan mendalam kepada individu-individu yang berada di sekeliling dan menjejas keupayaan mengekalkan hubungan sedia ada,’’ katanya pada Seminar Kesihatan Mental Wanita anjuran Briged Wanita Bukit Gelugor di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan penganjuran tersebut adalah ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer. Hadir sama, Pakar Perunding Psikitiari Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr. Fong Lai Wah, Pakar Perunding Psikologi Klinikal Hospital Adventist Pulau Pinang, Dr. Lynne Yong dan Kaunselor Kesihatan Mental serta Perintis Persatuan Kaunseling dan Psikologi Pulau Pinang, Indranee Liew.

Seramai 290 peserta dari pelbagai latar belakang menyertai penganjuran yang bertemakan, Memperkasa Wanita Sepanjang Hayat.

Mengulas lanjut, Jayabalan memberitahu bahawa kesihatan mental terutamanya dalam kalangan wanita adalah amat penting.

“Kesihatan mental ‘menguatkan’ kemampuan seseorang untuk mempunyai hubungan yang sihat, membantu membuat pilihan untuk kehidupan lebih baik, pendorong mengekalkan kesihatan fizikal dan meningkatkan kesejahteraan kualiti hidup.

“Kebimbangan yang berlebihan dan tekanan boleh menyumbang kepada masalah fizikal seperti sakit jantung dan keupayaan seseorang mengendalikan kehidupan seharian.

“Lebih membimbangkan adalah jika kesan secara tidak langsung ini memberi kesan kepada sistem imun dan menjadikan seseosrang lebih mudah terdedah kepada penyakit,” ujar beliau.