Garis panduan baharu kafe haiwan peliharaan bermula 2018

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal melaksanakan garis panduan baharu terhadap pengusaha-pengusaha kafe haiwan peliharaan (pet cafe) sebelum membenarkan perniagaan tersebut beroperasi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP, Ong Ah Teong berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit-berjangkit ekoran operasi kafe seumpamanya semakin popular kini.

“Kita (MBPP) ada garis panduan baharu yang mana sekiranya pemilik ingin membuka kafe haiwan peliharaan, ia mesti di lokasi komersial.

“Kedua, haiwan mesti ditempatkan berasingan daripada ruang makan pelanggan, yang mana haiwan-haiwan ini tidak boleh bercampur atau berada sekali dengan pengunjung di tempat makan.

“Mereka (pengunjung) dibenarkan bermain dengan haiwan-haiwan tersebut, tetapi tidak boleh membawa bersama haiwan ke ruang makan bagi mengelakkan penyakit-berjangkit dan kebersihan (ruang makan) ruang itu sendiri,” jelasnya pada sidang media di sini sambil menasihatkan supaya pengunjung menitikberatkan soal kebersihan selepas bermain dengan haiwan-haiwan berkaitan di kafe sedemikian.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif. Menurut Ah Teong, pengusaha mesti memastikan haiwan-haiwan di dalam premis kafe mendapat suntikan serta mempunyai pasport dan lesen daripada Jabatan Perhilitan.

“Setiap permohonan kafe haiwan peliharaan yang dihantar, MBPP akan agihkan kepada jabatan-jabatan terlibat seperti Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk diteliti terlebih dahulu sebelum lesen dikeluarkan.

“Bayaran permohonan lesen masih sama dengan komersial, tetapi untuk perniagaan sebegini, Majlis akan mengenakan deposit berjumlah RM2,000.

“Deposit ini adalah sebagai langkah kawalan sekiranya pengusaha tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Mengikut data MBPP, kini terdapat sekitar 10 kafe haiwan peliharaan yang beroperasi di sini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Maimunah menyatakan bahawa garis panduan tersebut bakal dilaksanakan bermula tahun hadapan (2018).

“Tahun-tahun sebelum ini memang tidak ada sebarang garis panduan berhubung kafe haiwan peliharaan.

“Jadi, MBPP menggalakkan semua kafe haiwan peliharaan yang telah beroperasi agar membuat permohonan semula dan menepati garis panduan yang akan berkuatkuasa tahun hadapan,” seru beliau.