Gaya hidup hijau ke arah kelestarian

Oleh: HOO HUEY CHING
Pegawai Kanan Penang Green Council

PADA bulan November, Penang Green Council (PGC) telah menganjurkan dua Kem Hijau di dua daerah yang berbeza di Pulau Pinang: Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Barat Daya untuk mendidik generasi muda mengenai topik-topik alam sekitar dan amalan / gaya hidup hijau.

Pada 1 Nov 2014, satu Program yang dinamakan Recyclethon telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sek. Keb. Sg. Rambai (SKSR) di Bukit Mertajam. Program ini merupakan Hari Keluarga dan Komuniti untuk ibu bapa dan kanak-kanak. Seiring dengan program ini, PGC telah dijemput untuk mengadakan taklimat dan
aktiviti untuk murid-murid sekolah berusia antara 9 -12 tahun.

Sejumlah 180 kanak-kanak telah menyertai sesi ini. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik yang berkaitan seperti: Mengapa kitar semula, apa dan di mana untuk mengitar semula, bahan yang perlu dikitar semula dan bagaimana kitar semula dengan kaedah yang betul. Pertandingan melukis poster bertemakan alam sekitar turut dijalankan sebagai sebahagian daripada program ini.

Usaha-usaha untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran untuk kanak-kanak telah diteruskan sehingga akhir bulan November, dimana Kem Hijau kedua telah diadakan di Dewan JKKK Bukit Gedung. Pejabat ADUN Batu Maung telah bekerjasama menganjurkan kem ini pada 29 November 2014.

Dato’ Hj Abdul Malik Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ADUN Batu Maung telah merasmikan kem ini. Kanak-kanak sekolah berusia antara 9-11 tahun dari Sekolah Agama Rakyat Batu Maung menghadiri aktiviti ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai gaya hidup hijau dan kelestarian alam sekitar.

Dalam ucapan YB, beliau telah menegaskan kepentingan konservasi alam sekitar selaras dengan visi Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat. Kanak-kanak Batu Maung memainkan peranan penting dalam menjaga persekitaran yang bersih. Sebagai contoh, peserta digalakkan mengamalkan tabiat tidak membuang
sampah di kawasan sekolah, rumah atau kejiranan dan sejurusnya mencapai matlamat ‘Batu Maung Lebih Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat’.