‘GBS by the Sea’ harap remajakan ekonomi negeri, FTZ Bayan Lepas

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal meremajakan lagi Zon Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas yang berusia lebih 40 tahun ketika ini, dengan pembinaan kompleks pejabat komersial ‘GBS by the Sea’ setentangan dengan laut di selatan bahagian pulau kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembangunan infrastruktur itu dilaksanakan ketika sektor perkhidmatan global (GBS) negara menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan majmuk (CAGR) sebanyak 10 hingga 15 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pulau Pinang mesti mengambil bahagian dalam Transformasi Industri 4.0 melibatkan Analisis Data Besar & Data Terbuka, e-dagang, Pengkomputeran Awam (cloud computing) dan Internet Untuk Segala-galanya (IoT).

“Kos projek ‘GBS by the Sea’ dianggarkan berjumlah RM200 juta, dalam tempoh tiga tahun projek pembinaan ini akan siap.

“Kita cuba melakukan pembaharuan serta meremajakan kawasan yang menjadi ikon ekonomi negeri ini, dan, dengan erti kata lain kawasan ini tidak lama lagi akan dikenali sebagai pusat teknologi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, PDC bakal membina dwi bangunan lapan dan sembilan tingkat untuk ruang pejabat multimedia koridor raya berpusat dengan luas lantai 411,000 kaki persegi, dilengkapi 2,500 parkir bertingkat, lot kedai komersial, yang akan membuka 3,000 lagi peluang pekerjaan baharu.

Tambahnya, ‘GBS by the Sea’ berkenaan akan melengkapkan projek pemajuan perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO) di Mayang Mall & Technoplex Bayan Lepas di sini.

Sebelum itu, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar membentangkan secara terperinci pelan reka bentuk bangunan yang akan dibina, sebagai melonjak serta menggamit pelabur baharu ke FTZ Bayan Lepas.

“Kita memilih kawasan ini, membuat penjenamaan semula kawasan ini, dengan harapan jenama “GBS by the Sea” sebagai pemangkin untuk meremajakan lagi ekonomi negeri.

“Kita juga membesarkan saiz pembangunan ekonomi untuk membangunkan ekonomi baharu,” jelasnya sambil memberitahu bahawa projek terbaru PDC tersebut akan menambahkan lagi bilangan peluang pekerjaan mahir baharu.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng turut sertai sidang media tersebut.