Geran RM20,000 jana projek impian, manfaat rakyat

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam usaha menggalakkan penyertaan rakyat berhubung proses membuat keputusan ke atas dana awam di peringkat majlis.

Pekara tersebut diulas Yang diPertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif pada Sesi Pembentangan Projek Penyertaan Rakyat ‘Projek Kita’ di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan, Ampang Jajar di sini barubaru ini.

“Melalui kerjasama yang terjalin bersama rakyat sejak 2012, kita dapat lihat beberapa kejayaan seperti pembinaan Taman Rekreasi, Kontrak Komuniti Kebersihan, Siri Pembangunan Kapasiti Komuniti dan pelbagai lagi program yang telah dimanfaatkan penduduk di sini.

“Manakala hari ini pula, kita gunakan partisipatori kepada komuniti untuk merancang dan membentangkan cadangan program serta projek yang dapat memanfaatkan komuniti dengan menggunakan bajet RM20,000 sumbangan MPSP dan PWDC,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Menurut Maimunah, walaupun jumlah tersebut tidak begitu banyak, tetapi ia mampu menjadi pemangkin kepada pemberdayaan komuniti untuk menjalankan projek atau program yang dihajatkan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng dan Ahli Majlis bagi MPSP, David Marshal.

Pada sesi tersebut, sebanyak tujuh kumpulan membentangkan pelan projek masing-masing di hadapan panel profesional untuk dinilai dan diperhalusi.

Johan memperoleh geran RM20,000 dalam melaksanakan projek yang dicadangkan