Golongan asnaf terbela, tanggungjawab sosial PPK

ZIARAH ASNAF… Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad baru-baru ini menyerahkan sumbangan zakat berupa beras, gula, minyak masak dan makanan asas lain dari rumah ke rumah kepada 240 golongan asnaf dan fakir miskin di lapan kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di sini.

Muhasdey ketika ditemui berkata, program Ziarah Asnaf tersebut adalah aktiviti tanggungjawab sosial bulanan yang bukan sahaja diadakan sepanjang bulan Ramadan tetapi juga sepanjang tahun.

Jelas beliau, program tersebut diteruskan di bulan Ramadan bagi meringankan beban kewangan golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang terlantar dan orang kurang upaya (OKU) membuat persiapan menyambut kehadiran Aidilfitri.

“Melalui dana dari Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), nasib golongan asnaf di sini terus terbela dan kita sampaikan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bubur lambuk sebagai juadah berbuka kepada penerima sumbangan zakat.