Google AdWords kini dalam Bahasa Melayu

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS – Platform pengiklanan berbayar dalam talian Google dikenali sebagai Adwords kini boleh didapati menggunakan kata kunci Bahasa Melayu, memandangkan 40 juta adalah penutur asal bahasa berkenaan.

Ketua Pemasaran Google Malaysia, Matthew Zaheen memberitahu, itu tidak termasuk lebih 220 juta penduduk dunia yang turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Justeru, katanya, langkah terbaru Google tersebut adalah selari dengan realiti lebih 60 peratus populasi warganegara yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

“AdWords dalam Bahasa Melayu boleh membantu meluaskan lagi capaian perniagaan dalam kalangan mereka (pelanggan) yang selesa menggunakan bahasa penghantar tersebut di dalam talian,” jelasnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Dianggarkan, terdapat 700,000 perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia, tetapi, kira-kira 15 peratus sahaja yang berada dalam talian maya harian.

Pun begitu, menurut Zaheen, hampir 20 juta daripada keseluruhan 29 juta rakyat Malaysia adalah pengguna internet.

Ditambah dengan lebih 35 peratus penembusan telefon pintar kini, jelas beliau, terdapat potensi yang hebat bagi perniagaan yang bertindak bagi menangani jurang ini.

“Salah satu motivasi utama untuk kami (Google) menjadikan AdWords boleh didapati dalam Bahasa Melayu adalah bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana mengembangkan capaian dan menjadikan ia lebih mudah dicari melalui pengiklanan dalam talian.

“Kami berharap lebih banyak perniagaan kecil dan sederhana datang ke dalam talian dan memasarkan perniagaan masing-masing di sini (dalam talian),” tambah Zaheen.

Info lanjut mengenai AdWords, layari google.com.my/adwords.