Guan Eng bangga integriti pemandu teksi P. Pinang

GEORGE TOWN – Integriti Muhammad Yusof Chik, 48, menyerahkan kembali lebih RM1,000 tunai milik penumpang teksi beliau di Pulau Pinang, yang menjadi viral baru-baru ini mendapat pujian daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

“Kita bukan sahaja bangga kerana mengamalkan tadbir urus Kerajaan Negeri secara bersih dan integriti, malah bangga ada pemandu teksi dari Pulau Pinang yang begitu integriti.

“Ini semangat perpaduan, semangat kekitaan dan semangat integriti yang jarang dapat dilihat di negeri lain, tapi ada di Pulau Pinang.

“Semua kita mempunyai satu usaha, bagi kita Kerajaan Negeri adalah berjiwa rakyat…dan, anda (pemandu teksi) adalah barisan pertama yang memberi layanan baik kepada pelancong, sekaligus juga sebagai duta kecil Kerajaan Negeri,” jelasnya pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi dan Operator Bas Sekolah 2017 di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hanson, Pengerusi Persatuan Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang (GABUNGAN), Abdul Malik Darus dan Pengerusi Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang, Loh Choon Beng.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan Dr. T. Jayabalan (ADUN Batu Uban) turut sertai majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, kali ini seramai 1,741 pemandu teksi serta 602 operator bas sekolah menerima insentif perkhidmatan yang keseluruhannya berjumlah RM702,900.

“Seramai 1,291 orang pemandu (teksi) dari bahagian pulau dan Seberang Perai, 450 menerima insentif ini.

“Pada kali ini, seramai 602 operator bas sekolah yang ada permit sah, iaitu 297 dari bahagian pulau dan Seberang Perai (305) layak menerima insentif RM600 setahun atau RM300 dalam dua kali pemberian.

“Insentif perkhidmatan ini boleh dikongsi dengan para penerima kerana Kerajaan Negeri bersih dan ‘tak makan wang’ (rasuah dan pembaziran),” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng sekali lagi menasihatkan Kerajaan Persekutuan supaya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa turut membebankan para pemandu teksi dan bas sekolah termasuk untuk menukar tayar kenderaan mereka.

Dalam pada itu, dalam majlis serupa peringkat Seberang Perai yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), Guan Eng memberitahu bahawa Pakatan Harapan (PH) berhasrat untuk menghapuskan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Lebuhraya Utara-Selatan jika berjaya menubuhkan Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menurutnya, mengikut perjanjian asal konsesi tol Jambatan Pertama Pulau Pinang sepatutnya tamat pada 2018, tetapi Kerajaan Pusat melanjutkan selama 20 tahun lagi sehingga 2038.

Tambah Guan Eng, perjanjian konsesi tol Lebuhraya Utara-Selatan yang sepatutnya tamat pada tahun 2018 turut dilanjutkan tempoh selama 20 tahun lagi, walhal hasil kutipan tol sehingga 31 Disember 2015 sejumlah RM36.3 bilion berbanding kos pembinaan sebenar lebuh raya sepanjang 986.5 kilometer (km) itu hanya RM5.9 bilion.

“Kena menang di Putrajaya, baru ada kuasa untuk melakukannya, menang Kerajaan Negeri sahaja tak cukup kuasa untuk menghapuskan tol dan hapuskan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Malik sekali lagi menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membela kepentingan pemandu teksi yang terjejas teruk hasil pendapatan, akibat operasi perkhidmatan Uber dan Grab Car secara atas talian.

“Kami di peringkat GABUNGAN ini telah berusaha pelbagai dan saya harap pemandu teksi bersabar…sampai pergi ke Putrajaya sebagai tanda solidariti sokongan pemandu teksi saman Uber.

“Di Pulau Pinang, saya harap berilah sokongan kuat kepada Kerajaan Negeri. “Pakatan Harapan mesti tawan Putrajaya, apabila mereka berada di sana, senang kita nak cakap dan mereka faham kepentingan kita,” jelasnya sambil mempertikai kenyataan Menteri tertentu berhubung isu berkaitan sebelum ini.

Pemberian insentif perkhidmatan kepada pemandu teksi dilaksanakan sejak tahun 2013, sebagaimana dijanjikan pentadbiran Guan Eng dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.


Cateogry: Hangat

Comments are closed.



Latest Articles

Like Our Facebook Page

Download Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Recent Comments

  1. Link telah dibaiki. Sila cuba lagi sekal... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013
  2. Buletin Mutiara 16-30 Mei 2013 Edisi Bah... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013

Archives