Guna ruang pamer mesej positif – Ahli Majlis

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) digesa memanfaatkan penggunaan ruang di perhentian bas dan papan iklan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kebudayaan dan kesenian.

Pendapat tersebut disuarakan Ahli Majlis MPPP, Tan Hooi Peng ketika sesi ucapan penangguhan pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 08 Tahun 2014 di Dewan Bandaran di sini baru-baru ini.

Kata Hooi Peng, MPPP selaku PBT dapat memperluaskan peranannya selain isu-isu kehidupan masyarakat seperti pembuangan sampah, lesen, tempat letak kenderaan dan lain-lain.

“MPPP boleh memperluaskan peranannya lagi dengan mengambil kira aspek pendidikan, kebudayaan dan kesenian.

“Banyak mesej yang boleh disalurkan kepada orang awam menerusi pondok- pondok bas, sepanduk-sepanduk ataupun papan iklan milik MPPP.

“Sebagai contoh, Majlis boleh bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan lain untuk menyalurkan mesej- mesej positif ini kepada orang awam seperti ‘menentang keganasan terhadap wanita’, ‘memberikan keutamaan kepada orang tua’ atau sebagainya,” ujarnya baru-baru ini.

Menurut Hooi Peng, perhentian bas juga boleh dijadikan sebagai medium untuk memaparkan lukisan tertentu seperti kanak- kanak sekolah rendah.

“Lukisan-lukisan ini akan menghidupkan suasana perhentian bas dan menukar stigma masyarakat bahawa hentian bas merupakan suatu tempat yang kotor dan membosankan.

“Secara tidak langsung, Majlis mampu memberikan sumbangan lebih besar dalam pendidikan melalui mesej-mesej ini selain hanya menggunakan papan iklan untuk tujuan komersial atau pun berperanan sebagai event teller sahaja,” kata beliau.