Hab & laluan dedikasi – pusat pertemuan pencinta berbasikal

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pengumuman pasaraya, Gama Supermarket & Departmental Store Sdn. Bhd. (Gama) berhubung projek pembangunan Hab Basikal Pulau Pinang di Jalan Datuk Keramat di sini bakal menobatkan negeri ini sebagai yang pertama dalam memiliki kemudahan sedemikian.

Pengarah Urusannya, Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, Gama memperuntukkan sekitar RM30 juta bagi tujuan pembangunan hab basikal tersebut selain pembinaan tempat letak kereta 10 tingkat yang bakal dibangunkan bersama.

“Apabila siap terlaksana kelak, ia bakal membuka era baharu dalam industri basikal Pulau Pinang khususnya menyediakan pelbagai
kemudahan dalam satu hab selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan aktiviti berbasikal.

“Selain kemudahan dataran yang mampu memuatkan 111 basikal, turut disediakan adalah pusat membaiki basikal, Kafe Bikers, gimnasium, bilik persalinan dan loker.

“Kemudahan-kemudahan ini akan menggalakkan lebih ramai pelanggan, pelancong dan peminat aktiviti berbasikal untuk datang ke sini dan jalankan aktiviti terbabit dalam kitaran Tapak Warisan Dunia UNESCO,” ujarnya pada ucapan aluan Majlis Pecah Tanah Hab Basikal Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis pecah tanah adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail turut sama hadir.

Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada Oktober ini dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2016 sebelum ia dibuka kepada pelanggan pada awal tahun 2017.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Guan Eng berkata, projek berkenaan bakal melengkapkan pembangunan 12.5 kilometer (km) lorong basikal berdedikasi di sepanjang pantai bermula dari pusat membeli-belah, Queensbay Mall yang dijadualkan siap sepenuhnya akhir tahun ini.

“Daripada 12.5km, 10.7km daripadanya adalah di sepanjang kawasan pantai yang akan ditanggung pihak pemaju hartanah dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Manakala, baki 1.8km daripada laluan dan jambatan di Sungai Pinang akan dilaksanakan oleh MPPP.

“Hab basikal ini akan menjadi ‘pusat pertemuan’ bagi pencinta aktiviti berbasikal apabila ianya siap kelak,” jelas beliau.