Hadiah RM20,000 rebutan pengusaha homestay

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Pertandingan Inap Desa (Homestay) Negeri Pulau Pinang yang julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri adalah bertujuan memberi galakan kepada pengusaha berkaitan dan secara tidak langsung bagi merangsang industri pelancongan desa di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dalam satu sidang media di sini baru-baru ini. Beliau memberitahu, pertandingan tersebut terbukti mampu menarik lebih ramai kemasukan pelancong asing ke negeri ini, selain memberi peluang kepada mereka (pelancong) dari luar negara memilih pakej penginapan desa sebagai opsyen percutian di negeri ini.

“Oleh itu, saya ingin menyeru semua pengusaha homestay sedia ada supaya bersedia dan memastikan premis masing-masing dalam keadaan terbaik serta bersedia menerima kehadiran pelancong.

“Tempoh penilaian pertandingan adalah selama 30 hari iaitu sepanjang bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Abu Jamal Nordin dan Pengarah Tourism Malaysia (Pulau Pinang), Harun Pilus. Menurut Heng Kiang, sejumlah 10 perkampungan inap desa akan dinilai termasuk tiga di Daerah Barat Daya iaitu Homestay Teluk Bahang , Homestay Jalan Bharu dan Homestay Pulau Betong; Seberang Perai Tengah (2), Homestay Sungai Semilang dan Homestay Mengkuang Titi; Daerah Seberang Perai Utara (1), Homestay Kota Aur; Daerah Seberang Perai Selatan (4), Home stay Sungai Chenaam, Homestay Sungai Setar, Homestay Sungai Duri dan Homestay Pulau Aman.

“Secara umum, penyertaan pertandingan ini mensyaratkan sekurang-kurangnya 10 pengusaha inap desa mewakili satu perkampungan.

“Namun, ada juga yang lebih dari 10 pengusaha dan tiada pendaftaran diperlukan kerana kita memilih perkampungan inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” jelas beliau.

Tambahnya, penilaian adalah melibatkan beberapa kriteria termasuk aspek kebersihan, hiasan, bilangan pelawat, layanan dan pendapatan tahunan pengusaha.

“Sejumlah RM20,000 wang tunai untuk dimenangi termasuk sebuah trofi dan sijil penghargaan,’’ kata Heng Kiang.

}