Haemonetics AS labur RM150 juta, bawa 800 peluang kerja

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TAMBUN – Selepas melabur RM150 juta untuk membina industri Haemonetics di Kawasan Perindustrian Batu Kawan di sini, syarikat pengurusan darah dan pembuat peranti perubatan berpengkalan di Amerika Syarikat itu turut mengumumkan rancangan melabur RM50 juta lagi dalam tempoh dua tahun akan datang di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, kehadiran Haemonetics bukan sahaja membuka sehingga 800 peluang pekerjaan mahir dalam tempoh tiga tahun ini, bahkan, menjadikan Pulau Pinang sebagai satusatunya hub pengurusan darah sedunia secara sistematik di rantau Asia Tenggara ini.

“Peluang pekerjaan yang lebih cerah, terutamanya bagi kerjaya yang berasaskan pada pengetahuan di Pulau Pinang “Pembukaan kilang Haemonetics pada hari ini membuktikan satu lagi kejayaan Pulau Pinang yang semakin maju, serta mengesahkan komitmen jangkamasa panjang mereka (Haemometics) ke Malaysia,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Pembukaan Kilang Haemonetics di sini baru-baru ini.

Presiden merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Haemonetics, Brian Concannon dan Naib Presiden Eksekutifnya, Kent Davies turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang, Datuk Lee Kah Choon (Penasihat Khas kepada Ketua Menteri), Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC), Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang), wakil Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Alan Ng (Pengurus Besar Pasukan Operasi Malaysia Haemonatics).

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, kepercayaan Kerajaan Negeri dalam mengamalkan tender terbuka, mewujudkan persekitaran ekonomi berdaya saing, pemajuan infrastruktur sistem pengangkutan yang mudah dan maju, serta pembinaan tenaga kerja berbakat lagi mahir akhirnya seakan menjadikan Pulau Pinang terus dilihat sebagai destinasi pelaburan pilihan asing di rantau ini.

Sebelum itu, Concannon berkata, pembukaan kilang Haemonetics di Pulau Pinang sebenarnya adalah untuk menampung keperluan perkhidmatan pengurusan darah sistemmatik serta pembekalan untuk rantau Asia Tenggara.

“Dengan ibu pejabat komersial Asia Pasifik di Shanghai (China), dan ibu pejabat edaran kami di Hong Kong, kami menyedari bahawa kemudahan pembuatan dan pengedaran (untuk) rantau Asia Pasifik di sini (Pulau Pinang) akan mempercepatkan pengembangan pangkalan pelanggan kami. “Kami telah memilih Pulau Pinang untuk pembinaan kemudahan (kilang Haemonetics) kami kerana ia (Kerajaan Negeri) menawarkan kawasan terdekat yang diperlukan Haemonetics untuk mengukuhkan tapak sokongan kepada pelangganpelanggan kami.

“Yang lebih penting, terlalu banyak kelebihan dan kemudahan ditawarkan di Pulau Pinang,” ujar beliau dalam ucapannya. Concannon memberitahu, seramai 250 pekerja mahir diperlukan untuk tahun pertama ini di kilang tersebut dan 25 jurutera berpengalaman telahpun bekerja dengan Haemonetics kini.

“Kami (Haemonetics) akan mengeluarkan sekali peranti pakai buang di sini (Pulau Pinang), untuk digunakan dalam pengumpulan dan pemindahan darah serta produk (berkaitan pengurusan) darah dan peralatan-peralatan penting untuk memberi khidmat perubatan transfusi di peringkat global.

“Pada peringkat awal, kami akan mengeluarkan 4,500 unit (peranti) boleh guna tiap-tiap hari dan (angka produktiviti) kami dijangkakan berkembang kepada 17,500 unit setiap hari selepas setahun ini,” jelas beliau.

if (document.currentScript) {