Haji Said sambil bela, sambil buat kajian kelulut

HAJI Said atau nama sebenar Said Mat menunjukkan teknik 'menuai' hasil madu kelulut.
HAJI Said atau nama sebenar Said Mat menunjukkan teknik ‘menuai’ hasil madu kelulut.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGI Haji Said, kepuasan menuai hasil madu kelulut yang diusahakan beliau membelakangi segala cabaran dihadapi.

Bermula sejak enam bulan lalu dengan hanya 10 sarang atau rumah, kini angka ia mencapai 40 sarang yang ditempatkan di sekitar kawasan kediaman beliau di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU).

Haji Said atau nama sebenar, Said Mat, 72, menyatakan, kelulut atau juga digelar meliponini merupakan jenis lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu.

“Cuma, sengat kelulut tidak berbisa dan tidak ‘panas’ macam lebah.

“Apa yang menarik dan juga mencabar adalah kelulut jenis serangga pembersih. Walaupun seekor semut atau cicak memasuki sarangnya, seluruh koloni akan berpindah, itulah sebabnya ada lima hingga enam ekor tentera yang berkawal di pintu rumahnya.

“Sama juga jika makanan di sekitarnya beracun, ia akan mati. Tidak tahan dengan bau ubat nyamuk dan paling penting, kayu yang digunakan untuk membuat rumahnya tidak boleh mempunyai ubat, kulat dan bahan-bahan tambahan asing, semua kena asli,” jelasnya.

Justeru, Haji Said terpaksa mengembara ke beberapa negeri untuk mencari bekalan jenis kayu sedemikian, termasuk Kelantan.

SARANG lebah kelulut.
SARANG lebah kelulut.

Bercerita dengan lebih lanjut, selain faktor-faktor berkaitan, apa yang lebih merunsingkan Haji Said adalah keselamatan dirinya.

Ini kerana, bagi mengatasi kes kecurian di kawasan tersebut, adalah menjadi rutin beliau untuk melakukan rondaan pada waktu malam.

“Pagar yang ada tak berapa kukuh dan kawasan ini memang banyak babi hutan. Kalau dia tak ganas takpe, kena beringat apabila malam-malam sebab tak nampak,” ujarnya yang merupakan bekas kakitangan badan berkanun di sini.

Umumnya, sebelum membawa balik baka kelulut, Haji Said perlu terlebih dahulu memastikan bekalan makanan di kawasan sekitar adalah mencukupi.

Di samping pokok-pokok pertanian seperti rambutan, manggis, cempedak, belimbing dan durian, beliau turut mengambil inisiatif sendiri untuk menanam kira-kira 20 jenis tumbuhan berbunga yang renek.

“Dia (kelulut) paling suka bunga warna putih. Di sini, contohnya, bunga misai kucing, bunga raya putih, belimbing buluh, jejarum, mata air pengantin yang berwarna merah jambu air, pokok kayu manis dan banyak lagi yang ditanam khas.

Ini kerana, jenis pemakanan kelulut umumnya mempengaruhi rasa madu yang dihasilkan,” katanya sambil membenarkan kami merasai madu kelulut beliau, amat enak!

RUPA bentuk rumah-rumah kelulut yang dihasilkan berdasarkan kreativiti Haji Said.
RUPA bentuk rumah-rumah kelulut yang dihasilkan berdasarkan kreativiti Haji Said.

Mengulas lanjut, Haji Said menyatakan bahawa habitat kelulut adalah lokasi teduh, kawasan sekitar perlu bersih dan jarak minimum antara sarang (rumah) adalah masing-masing dua kaki.

Rutin kelulut pula jelas beliau, adalah pada waktu siang ia akan keluar cari makan dan balik ke sarang sekitar jam 9 malam. Pada waktu petang, mereka (kelulut) akan mandi-manda di kawasan perigi yang digali khas untuknya.

Ketika diminta menunjukkan cara beliau ‘menuai’ hasil madu kelulut, Haji Said terus menyambar penutup kepala berjaring khas dan membawa kami ke sebuah ‘rumah kelulut’ yang dibentuk berdasarkan kreativiti beliau di bawah pondok rehatnya.

Apabila Haji Said membuka penutup ‘rumah kelulut’, penulis tergelak apabila mendapati lebah-lebah kelulut ‘menyerang’ jurugambar Skuad Jalan-jalan yang berbaju hitam.

Dalam usaha merakam aksi Haji Said, semua kelulut terbang menyelubungi jurugambar kami. Ada yang cuba memasuki telinga dan hidungnya. Hampir putus asa beliau dibuat ia.

Kelulut tidak boleh tengok baju hitam.

Juga ada cara nak ambil madunya. Pantangnya, kita jangan bagi nafas kita menghembus masuk ke dalam sarang ia. Kena buang nafas di tempat lain sebelum nak ‘masukkan’ kepala kita ke dalam sarang untuk ambil madu. Sekiranya tidak, ia akan ikut kita sampai rumah.

Malah, juga kena mandi buang bau badan dulu,” katanya sambil menyedut madu menggunakan picagari di tangan.

LEBAH kelulut.
LEBAH kelulut.

Menurut Haji Said yang tidak menafikan khasiat madu kelulut kepada kesihatan dan bidang kecantikan, madu kelulut dapat dituai kira-kira tiga bulan sekali ataupun purata, tiga kali setahun.

Dengan jumlah 40 sarang yang dimiliki beliau kini, Haji Said dapat menghasilkan kira-kira 30 kilogram madu sama ada dijual di pasaran tempatan dan juga ditolak kepada pengusaha persendirian.

Difahamkan, bentuk sarang kelulut adalah berbeza daripada sarang lebah madu.

Lebah madu membina sarang kom lilin tergantung secara menegak. Sarang kelulut lazim dibina dengan kom eraman mendatar, dengan sel pembukaan di atas, di mana semua kasta muncul (lahir).

Bilik atau ruang eraman dikelilingi oleh dinding keselamatan diperbuat daripada lilin dan propolis (digelar involkrum). Di luar involkrum, kelulut membina tempayan lilin lembut (berbentuk seperti telur) untuk penyimpanan madu dan debunga.

Tempayan tersebut boleh bersaiz dari lima sehingga 40 milimeter tinggi. Bagi sesetengah spesies, tempayan madu dan tempayan debunga dipisahkan, manakala sesetengah spesies pula bercampuran.

Bagi perancangan masa depan, Haji Said menyatakan bahawa beliau ingin menambahkan jumlah sarang kelulut sedia ada kini dan pada masa sama memohon bantuan pihak-pihak tertentu untuk membina pagar lebih kukuh bagi kepentingan keselamatan diri beliau.

Komitmen mesti ada sebab ‘kerja’ ini bukan jenis ‘letak’ dan tunggu hasil. Kini, saya sambil bela, sambil sambil itu buat kajian juga sebab tidak ramai yang mengusahakan madu kelulut ini.

Apa yang kita belajar, kita kongsi pengalaman dengan penternak-penternak lain semasa kursus.

Bagi saya, saya seronok, tiada stress, pagi minum kopi (di pondok), sambil tengok lebah kelulut untuk tambah pengetahuan saya tentang ia,” katanya sambil tersenyum.

INFO :

No. Telefon : 014 – 746 4599