Halal Penang & Humber LEP terokai pasaran baru

Terjemahan : AINUL WARDAH SOHILLI

YORKSHIRE, UNITED KINGDOM – The Humber Local Enterprise Partnership (Humber LEP), sebuah syarikat perkongsian perniagaan strategik yang memaju dan membangunkan ekonomi di Humber (salah sebuah tempat di muara sungai Pantai Timur wilayah Utara England) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), North East Lincolnshire Council menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) dengan Halal Penang dalam usaha meneroka peluang-peluang pasaran baru di Malaysia.

Peluang MoU tersebut dilihat sebagai batu loncatan bagi semua pihak khususnya Kerajaan Negeri melalui Penang International Halal Hub atau lebih dikenali sebagai Halal Penang untuk mengorak langkah lebih jauh dalam mempromosikan industri halal di persada global.

Perjanjian itu turut menggariskan hubungan dua hala antara ketiga-tiga pihak dalam menyokong antara satu sama lain dan meneroka peluang-peluang yang boleh memberi manfaat ekonomi kepada Humber dan Pulau Pinang.

Itu termasuk peluang Humber LEP dan Halal Penang untuk membangunkan industri halal, sama ada melalui jalinan perkhidmatan, penyediaan makanan halal, penggalakan inovasi dan pemindahan teknologi.

Pengerusi Halal Penang yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau berharap untuk berkerja erat dan saling berkongsi tenaga dalam industri halal.

Manakala, bagi pihak Humber LEP pula adalah membabitkan perkongsian sektor tenaga dengan meningkatkan potensi pusat pengedaran makanan halal di wilayah Humber.

Ketua Pegawai Eksekutif Humber LEP, Kishor Tailor memberitahu, peluang MoU tersebut membolehkan pihaknya mengenalpasti pasaran serta peluang-peluang baru untuk syarikat-syarikat di Humber meneroka kemasukkan peluang pelaburan.

“Hubungan kukuh dengan Malaysia, sama ada melalui universiti mahupun lawatan kerja mampu memberi peluang untuk meneroka peluang bagi faedah bersama,” jelas beliau.

Ahli Majlis North East Lincolnshire Council, Chris Shaw menyatakan bahawa MoU ditandatangani pada 11 September lalu adalah satu lagi bukti kepentingan perhubungan antarabangsa.

“Di sini, kita mempunyai ruang dan keinginan untuk menjalinkan kerjasama bagi mewujudkan ekonomi yang lebih kukuh.

“Menerusi MoU ini, kita akan mengorak ke hadapan khususnya dalam tatacara berkerja serta mengembangkan perniagaan yang memberi kebaikan buat semua,” ujar Chris.

Berita lanjut, layari laman sesawang Bdaily Limited di https://bdaily.co.uk/ entrepreneurship/11-09-2014/humber-lepforges-links-with-malaysia-to-explore-newmarkets/.