Hapus GST, selesai skandal kewangan pulih pelaburan swasta sektor pembinaan – Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bimbang dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, hatta menjejaskan industri pembinaan swasta dalam sektor kediaman dan bukan kediaman di negeri ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng mendakwa bahawa kemelesetan ekonomi yang terjadi adalah ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta isu kewangan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Di Pulau Pinang, menunjukkan projek pembinaan berkurangan sebanyak 28 projek bagi tempoh 2015 dan 2016.

“Pada tahun 2015, sebanyak 540 projek telah dilaksana berbanding 2016 (512), yang mana nilai projek tersebut telah menurun dari RM8.3 bilion pada 2015 kepada RM8.2 bilion (2016),” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan dalam kenyataan bertulis di sini 2 Julai lalu.

Menurut Guan Eng, angka penurunan untuk sub-sektor kediaman dan bukan kediaman jatuh dengan begitu mendadak, sungguhpun daripada segi nilai projek menyaksikan tidak banyak perbezaannya.

” Hanya pelaburan tambahan oleh Kerajaan dalam sub-sektor kemudahan sosial, yang naik enam kali ganda daripada RM0.1 bilion dalam tahun 2015 kepada RM0.7 bilion (2016); dan sub-sektor infrastruktur yang naik 92 peratus daripada RM1.4 bilion pada tahun 2015 kepada RM2.7 bilion (2016), telah berjaya menyelamatkan keadaan,” jelasnya sambil merujuk kepada Jadual Statistik Construction Industry Development Board (CIDB)

Mengenai Jumlah Serta Nilai Projek Tahun 2015 dan 2016 Di Pulau Pinang. Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, nilai projek
kediaman telah kurang sebanyak 51 peratus atau RM1.5 bilion daripada RM4.4 bilion keseluruhan nilai projek bagi tahun 2015, berbanding RM2.9 bilion sahaja yang dicatatkan pada 2016.

Pada masa sama, katanya, projek bukan kediaman bagi tahun 2015 yang bernilai kira-kira RM2.4 bilion tahun menyaksikan jatuh sebanyak 20 peratus atau RM0.5 bilion menjadi RM1.9 bilion sahaja (2016).

“Faktor utama kemerosotan sektor kediaman dan bukan kediaman adalah ekonomi negara yang tidak menentu.

“Pertumbuhan ekonomi merudum, defisit keyakinan dan kredibiliti terhadap pengurusan kewangan Kerajaan Pusat menyebabkan kemerosotan dalam pelaburan oleh pihak swasta bagi sektor pembinaan.

“Kerajaan Persekutuan perlu menyelesaikan isu 1MDB dan hapus GST untuk memulihkan keyakinan pihak swasta untuk terus melabur dalam sektor pembinaan,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.