Harap amalan kuota 30% wanita luaskan pergerakan JKKK

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini akan terus melaksanakan amalan 30 peratus anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) mesti dipenuhi oleh golongan wanita.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berharap amalan itu sebagai menghargai sokongan majoriti wanita yang memberi sokongan kepada kepimpinan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mac 2013.

Justeru, beliau berharap amalan tersebut terus mendorong kepemimpinan wanita di peringkat akar umbi dan mampu mencorak pergerakan JKKK agar lebih luas.

“Di peringkat negeri, Datuk Bandar, Dato’ Patahiyah Ismail yang memimpin Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif telah membuktikan kemampuan masing-masing memimpin PBT (pihak berkuasa tempatan).

“Saya berharap pemimpin wanita di peringkat JKKK pun boleh menggerakkan suatu wawasan yang lebih luas, jangan terbatas pada isu-isu kewanitaan sahaja,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak bersempena penganjuran Program Latihan Kepimpinan Wanita Dalam JKKK dan Komuniti di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Rohana Abdul Ghani dan Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul.

Menurut Mohd. Rashid, ketika ini hanya 844 daripada 3,225 anggota JKKK adalah kaum hawa.

“(844 anggota JKKK wanita) ini bersamaan dengan 20.7 peratus sahaja.

“Daripada jumlah (844 wanita) tersebut, 91 peratus daripadanya adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) biasa, Setiausaha (7%) dan Pengerusi (2%),” jelas beliau.