Harap rakyat sedia hadapi kemelut ekonomi – MP

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: LAW SUUN TING

GEORGE TOWN– Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik menjangkakan 2015 bakal menjadi tahun paling mencabar yang perlu dihadapi semua rakyat Malaysia.

Wei Aik berkata, rakyat perlu bersedia sama ada dari segi fizikal mahupun mental untuk menghadapi prospek dan ketidaktentuan ekonomi negara.

“Saya percaya kita semua maklum bahawa Kabinet telah memberi kata putus untuk pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pada April nanti sungguhpun dikritik dan dikatakan bakal membebankan rakyat.

“Saya berharap rakyat dapat bersedia menghadapi kemelut ekonomi dan menyesuaikan diri setelah pelaksanaan GST kelak yang bukan sahaja akan meningkatkan kos sara hidup, tetapi juga kos-kos harian lain.

“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengambil kira beban ekonomi yang dihadapi rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya yang ditemui pada Program Mengedar Kalendar 2015 Parlimen Tanjung di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow dan ADUN Komtar, Teh Lai
Heng.

Jelas Wei Aik, Kerajaan Persekutuan boleh membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak ke paras bawah RM2 seliter dengan mengambil kira jumlah subsidi RM19.3 bilion yang telah diluluskan dalam Bajet 2015.

“Harga minyak boleh mencecah RM1.70 atau RM1.60 seliter mengikut harga pasaran kerana ada subsidi disediakan.

“Justeru, diharapkan Kerajaan Persekutuan tidak menggunakan kesempatan rasionalisasi subsidi untuk memansuhkan subsidi minyak tersebut,” tegas beliau.