Harap Seberang Perai dikenali dunia seperti MPSP – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN– Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru menerima anugerah Best Cities Award oleh Europe Business Assembly – Stresa, Itali pada 5 Julai lalu, manakala Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd.

Sharif pula diiktiraf sebagai Best Cities Manager Award dalam majlis yang sama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa berucap pada Hari Majlis MPSP berkata, pihaknya berharap dua pengiktirafan tersebut serta beberapa pencapaian lain pada peringkat dunia sekaligus dapat mempromosi industri pelancongan negeri.

“Ini membuktikan bahawa usaha-usaha MPSP diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Anugerah-anugerah ini secara tidak langsung mempromosi Seberang Perai dalam bidang pelancongan, dan menjana ekonomi Seberang Perai secara khususnya,” jelasnya di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) serta pemimpin utama Kerajaan Negeri yang lain turut berucap pada majlis keraian tersebut.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut memuji pasukan Maimunah kerana menghasilkan edisi kedua Seberang Perai Heritage Map & Seberang Perai Tourist Map.

Malah, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang,
Pejabat Daerah, Jabatan Perhutanan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Penang Global Tourism (PGT), ATAP, PTGA atas penerbitan edisi kedua peta pelancongan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut mengingatkan MPSP supaya terus memberi keutamaan pada meningkatkan aspek kebersihan Seberang Perai, sebagaimana hasrat 97 peratus responden dalam Kajian Soal Selidik Bajet MPSP baru-baru ini.