Hari Keluarga P. Betong semai kerjasama masyarakat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : IDZHAM AHMAD

PULAU BETONG – Bertujuan mengumpulkan semua warga Balik Pulau dalam jalinan ukhuwah dan menyemai kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat, Pusat Khidmat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong mengambil inisiatif menganjurkan Hari Keluarga KADUN Pulau Betong 2014 di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras KADUNnya, Mohd. Tuah Ismail berkata, kira-kira 3,000 warga Balik Pulau hadir dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Balik Pulau.

“Alhamdulillah, kalau kita tengok pada hari ini, memang jelas terpancar jalinan ukhuwah tanpa mengira kaum, latar belakang dan usia, semua hadir membantu dalam menjayakan Hari Keluarga ini,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Majlis MPPP yang terlibat.

Hadir menyempurnakan program tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan isteri.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya perlumbaan motor lambat, pertandingan sepak raga tuju, pertandingan masakan, pertandingan gubahan dan ukiran, pertandingan mewarna, pertandingan gusti lengan, kempen derma darah, pameran korporat, pemeriksaan kesihatan percuma dan sukaneka rakyat.