Harimau Kumbang juara bola sepak Piala Exco

SEBERANG JAYA – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng menasihati supaya dua pasukan cilik bawah 12 tahun yang layak ke peringkat akhir Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah
supaya tidak meninggi diri dengan kejayaan dikecapi.
Ini kerana, menurutnya, untuk menjadi atlet yang mempunyai masa depan cerah, sikap meninggi diri seharusnya tidak patut ada dalam diri seseorang.
“Sikap negatif seperti ini adalah tidak baik untuk masa depan seseorang atlet, kerana ia akan menyebabkan seseorang itu lupa diri dan tidak memberi sepenuh tumpuan terhadap karier mereka.
“Oleh itu, saya ingin berpesan kepada peserta cilik yang telah berjaya memasuki pertandingan akhir supaya buang sifat ego dan memberi sepenuh tumpuan terhadap latihan dan pertandingan yang akan datang,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Exco Belia & Sukan Negeri Pulau Pinang anjuran Kelab Bolasepak Promula (XPRO) di sini baru-baru ini.

Pada penghujung pertandingan, pasukan Harimau Kumbang berjaya merangkul gelaran juara setelah menewaskan pasukan TFB.

Pertandingan yang dianjurkan untuk kali keempat pada tahun ini berjaya mengumpulkan 16 pasukan veteran dalam negeri termasuk tiga pasukan dari Kedah dan dua pasukan dari Perak.

Bagi Kategori Bawah Umur 12 Tahun, ia merupakan (kategori) kali pertama dipertandingkan dengan penyertaan 16 pasukan dari negeri ini.

Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Datuk Shukor Salleh turut hadir pada majlis tersebut.

Tambah Chong Eng, penganjuran tersebut adalah amat baik terutamanya dalam mencari pemain pelapis untuk pasukan bola sepak negeri yang mana kini ketandusan pemain tempatan berbakat.

“Saya berharap agar pemain-pemain cilik pada hari ini dapat mengekalkan prestasi dan kembali bermain untuk pasukan negeri di masa akan datang,” ujarnya.}