Hasrat pertimbang pinjaman wang dari China dalam pengetahuan Kementerian, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini untuk mempertimbang tawaran pinjaman wang dari negara China melalui China Exim Bank sebenarnya berdasarkan syor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri serta dalam pengetahuan Kementerian Kewangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberi respons sedemikian, sambil menyelar pihak tertentu yang cuba menzahirkan keraguan terhadap hasrat Kerajaan Negeri tersebut.

“Kita pernah menulis sepucuk surat untuk mendapatkan sokongan daripada Kerajaan Pusat berkaitan isu ini pada
5 Februari 2015, namun surat itu hanya dibalas pada Ogos 2016.

“Balasan surat tersebut mengkehendaki Kerajaan Negeri mengkaji secara mendalam tentang cadangan tersebut agar ianya selari dengan Artikel 111 (2) Perlembagaan Negara.

“Surat tersebut turut diakhiri dengan pihak kementerian memohon Kerajaan Negeri supaya menghantar contoh
kertas cadangan berkaitan untuk penilaian pihak kementerian,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Kon Yeow berkata, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada sesi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas Mei lalu turut menjelaskan perkara yang sama ketika membentangkan suatu rang undang-undang berwajib demi memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri dalam melakukan pinjaman dari bank berkaitan.

“Perkara tersebut juga tidak dibantah oleh pihak Kementerian Kewangan mahupun wakil-wakil rakyat daripada pembangkang pada sidang DUN baru-baru ini.

“Orang ramai tidak perlu bimbang, dalam apa juga keputusan Kerajaan Negeri, kita akan lakukan yang terbaik selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat mengikut lunas undang-undang dan dasar Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.