‘Hercules Ng’ buru pingat Emas kejohanan IWF Finland

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BUKIT MERTAJAM – Nama Ng Chow Seng, 80, atau lebih dikenali sebagai ‘Hercules Ng’ mungkin jarang kedengaran, namun, cukup gah dalam arena angkat berat kebangsaan, apatah lagi beliau kini memburu emas ke-empatnya dalam International Weightlifting Federation (IWF)’s World Weightlifting Master Championship 2015 di Rovaniemi, Finland September ini.

“Sejak menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa pada tahun 1988, saya telah merangkul tiga emas, empat perak dan satu gangsa dalam pelbagai kategori antaranya Bantam Weight dan Light Weight.

“Saya bersedia dan yakin membawa pulang pingat untuk kejohanan kali ini, harap-harap ianya pingat emas,” katanya selepas menerima kunjungan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng di kediamannya di Taman Sri Rambai di sini baru-baru ini.

Chong Eng dalam pada itu menzahirkan rasa bangga, walaupun telah mencapai usia 80 tahun, Chow Seng masih bergiat aktif menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa sekaligus mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang di mata dunia.

“Jika dilihat susuk tubuh, pasti kita tidak menjangka yang beliau telah mencapai usia 80 tahun dan merupakan atlet veteran angkat berat negara.

“Pastinya pencapaian dan kejayaan beliau memberi inspirasi terutama golongan belia yang ingin berjinak-jinak dengan sukan angkat berat. Semoga berjaya dan membawa pulang kemenangan,” katanya yang turut menyampaikan insentif berjumlah RM1,000 kepada Chow Seng.

Turut sama, wakil-wakil dari Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Pulau Pinang. Anak jati Pulau Pinang tersebut mula menceburi bidang angkat berat seawal usia 14 tahun pada 1949 di Alor Setar, Kedah dan pernah menyandang gelaran Mr. Weightlifter of Penang dua tahun berturut-turut pada tahun 1958 dan 1959.

Malah, beliau turut bergiat dalam sukan tinju dan pernah menjuarai kejohanan tinju, 1st Federation Rejimental Boxing untuk tiga tahun berturut-turut sehingga tahun 1965.

“Disiplin yang ketat dan usaha tanpa henti menjadi asas kesungguhan untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Apabila lagu ‘Negaraku’ berkumandang di luar negara, ia suatu detik yang paling membanggakan,” tambah Chow Seng sambil tersenyum.