Hijau, Bersih, Sihat & Selamat, perjalanan berterusan hingga menjadi budaya – Exco

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mampu mencapai kualiti hidup seperti di negara maju sekiranya slogan Hijau, Bersih, Sihat dan Selamat dijadikan satu budaya, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Kon Yeow memberitahu, ketika baru mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan slogan Pulau Pinang Hijau & Bersih, dan beliau merasakan slogan itu hanya mampu bertahan sementara.

“Namun saya silap, slogan dan pembudayaan tersebut terus berkembang dan menjadi satu prinsip bagi rakyat negeri ini…yang kini terus berkembang menjadi Hijau, Bersih, Sihat dan Selamat.

“Bagi saya slogan tersebut bukanlah matlamat, namun ianya adalah perjalanan yang berterusan hingga menjadi budaya.

“Jika dikekalkan secara konsisten, tidak mustahil orang Pulau Pinang boleh nikmati kehidupan setanding negara maju,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau Peringkat Pulau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; Ahliahli Majlis bagi MBPP; wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohd. Faisol Abu Bakar; Pengarah Unit Pendidikan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suffian Jul Mohammad dan Pengurus Sumber Manusia Mah Sing Group Berhad, Winnie Lim.

Maimunah pada ucapannya menyatakan bahawa sekolah merupakan tempat paling tepat untuk membentuk generasi masa depan yang menghargai alam sekitar.

“Ini adalah kerana hanya di sekolah, keperibadian manusia terhadap alam sekitar dapat dicorak.

“Malah, sekolah juga dianggap sebagai rumah kedua bagi setiap pelajar untuk mempraktikkan amalan mesra alam seawal usia muda dan dapat memastikan kesinambungannya hingga mereka dewasa kelak,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 40 sekolah menyertai penganjuran Anugerah Sekolah Hijau tahun ini.

“Saya berharap penyertaan ini akan dapat ditingkatkan saban tahun,” seru Maimunah.

Buat tahun ketiga berturut-turut, Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Teras, Balik Pulau terus mempertahankan kejuaraan bagi Kategori Sekolah Rendah, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Wen Khai menggondol gelaran naib johan.

Sementara itu, Guru Penyelaras SK Titi Teras, Azizi Bahari ketika ditemui berkata, kejayaan tersebut adalah atas usaha guru-guru menerapkan nilai murni cintakan kehijauan yang dilaksanakan melalui program ko-kurikulum di sekolah berkenaan.

“Dari situ, kita (guru) semaikan minat dan tanggungjawab murid untuk menjaga alam sekitar agar ia terus hijau bagi kepentingan generasi masa hadapan.

“Tahun ke tahun, kami juga akan berusaha menambah baik persekitaran sekolah… ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) turut berikan kerjasama yang baik dalam memastikan kemenangan ini,” jelasnya.

Bagi kategori Menengah, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Han Chiang dinobatkan sebagai johan mengenepikan SMJKC Chung Hwa Confusian di tempat kedua.

Penganjuran yang diadakan sejak tahun 2010 itu turut mempertandingkan beberapa kategori lain seperti Persembahan Terbaik, Anugerah Khas Bagi Kecekapan Sumber Asli, Inovasi, Kebersihan Penghijauan, Penyertaan Masyarakat serta Anugerah Emas, Perak dan Gangsa.