Hijaukan Sg. Pinang, Siew Khim mahu hidup rakyat lebih selesa

PERSIARAN Karpal Singh bagaikan mercu pembangunan Bandar Sri Pinang, kini Bersiar-siar, lepak sambil menikmati makanan, busking, permainan kasut roda dan pelbagai lagi aktiviti bermula pada lewat petang seakan menjadikan kawasan ini taman rekreasi malam.

‘Talent @ Persiaran Karpal Singh’ pernah dianjurkan saban Sabtu sebelum ini, supaya penyanyi, penari, kumpulan ‘buskers’, ahli silap mata dan sebagainya berpeluang untuk membuat persembahan secara terbuka di sini.

Namun, bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, masih banyak lagi perlu dilakukan.

“Saya ada menerima keluhan warga emas bahawa tiada tempat untuk mereka menenangkan fikiran, bagitu juga remaja dan kanak-kanak tiada tempat untuk mereka rekreasi di tempat tinggal mereka.

“Sasaran saya, antaranya untuk mewujudkan lebih taman mini atau taman permainan.

“Saya mahu semua penduduk di kawasan Sungai Pinang ini dapat menikmatikan persekitaran yang bersih dan nyaman,” jelasnya ketika ditemubual wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB di Jalan Rangoon barubaru ini.

Siew Khim, 46, ibu kepada lima anak itu pernah menjadi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum bertanding dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 15 Mei 2013.

Beliau mengambil keputusan untuk terjun dalam arena politik lebih awal dari itu, pada tahun 1992 lagi.

Kini, Siew Khim nekad sedaya mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kira-kira 23,501 pengundi berdaftar, 31 peratus Melayu, Cina (54.56 peratus), India (14.09 peratus) dan kaum-kaum lain (0.32 peratus).

Untuk itu, beliau berkata, lebih 20 rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah di Sungai Pinang perlu diselenggarakan.

Namun, Kerajaan Pusat di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) hanya meluluskan peruntukan di Kampung Jawa sahaja.

“Walaupun (flat Kampung Jawa) dapat (70 peratus) peruntukan TP1M dan (30 peratus lagi di bawah Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang) HAPPY! yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri, tetapi mereka masih memohon peruntukan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan di bawah Kerajaan Negeri, sebab ada masalah pada bahagian bumbung (rumah pangsa tersebut).

“Saya baru tiga tahun (menjadi wakil rakyat) Sungai Pinang, masih banyak lagi perlu dilakukan.

“Semua itu perlu ditangani satu langkah demi satu langkah,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dalam tempoh tiga tahun ini, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di Sungai Pinang, antaranya ‘pocket park’ diwujudkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai.

Kelas tambahan secara percuma untuk murid-murid turut dianjur di Taman Jelutong Jaya, PPR Jalan Sungai serta satu lagi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Khidmat ADUN Sungai Pinang.

Itu, tidak termasuk projek pemajuan tiga gelanggang futsal yang dibina di Mutiara Height, Persiaran Karpal Singh dan Flat Mutiara Vista demi menggalakkan belia setempat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Semua kita percaya pendidikan boleh mengubah nasib seseorang, jadi saya tidak mahu anak-anak kita hilang fokus dalam hal ini.

“Selain pada pelajaran, program pendidikan dan kerjaya, program sukan juga perlu ada untuk komuniti lebih selesa,” ujarnya. Siew Khim memberitahu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) pernah melaksanakan bancian untuk ‘Gender Responsive Budgeting’ (GRB) Taman Jelutong Jaya dan Taman Jalan Jeti, demi menggalakkan partisipasi penduduk setempat.

Tambah beliau, saban tahun, pihaknya menganjurkan program bantuan persekolahan serta program-program kebajikan lain demi membantu golongan terpilih di Sungai Pinang.

Selain itu, menurut Siew Khim, golongan wanita khususnya ibu tunggal tidak pernah diabaikan.

Beliau senantiasa mencari jalan untuk membantu golongan tersebut menambahkan pendapatan keluarga, dengan memberi kelas-kelas kemahiran menjahit dan berniaga kepada mereka.

“Sebenarnya kejayaan dalam membangunkan potensi wanita, khususnya ibu tunggal ini bergantung pada komitmen mereka sendiri.

“Paling ramai ibu tunggal adalah Melayu, pendekatan cepat antaranya mesti membantu mereka berniaga secara kecil-kecilan.

“Kita mesti membantu mereka dari segi pemikiran, tabiat dan kemahiran,” katanya.

Siew Khim percaya, komitmen memberi perkhidmatan secara jujur dan berterusan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik lama-kelamaan mampu menambat hati rakyat terbanyak, termasuk orang-orang Melayu sendiri.

“Terus bekerja untuk rakyat secara jujur, saya cuba sedaya mungkin untuk menjadikan Sungai Pinang ini ‘green lung’ supaya hidup rakyat lebih selesa,” ujar Siew Khim.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);