HOHO mampu tingkat kedatangan pelancong – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, menzahirkan rasa bangga ekoran pengoperasian bas pelancongan dua tingkat, Hop On Hop Off (HOHO) yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi kedua selepas Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, inisiatif syarikat Elang Wah Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik HOHO adalah amat dialu-alukan Kerajaan Negeri yang sememangnya menggalakkan usahasama antara badan swasta.

“Kita (Pulau Pinang) nampaknya sekali lagi dipilih, sama seperti IKEA yang turut memilih Batu Kawan sebagai cawangan kedua selepas Lembah Kelang.

“Oleh itu, pengusaha-pengusaha industri pelancongan haruslah merebut peluang keemasan ini memandangkan peningkatan peratusan kedatangan pelancong pastinya akan berlaku,” ujarnya pada Masjlis Perasmian HOHO di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Kementerian Pelancongan menjangkakan peningkatan pelancong ke Pulau Pinang kepada 5.5 juta orang tahun ini berbanding 4.7 juta (2013).

Pengoperasian 10 bas HOHO adalah membabitkan dua laluan iaitu kawasan bandar (George Town – Bukit Bendera – Taman Botani) dan kawasan pantai (Teluk Bahang – Persiaran Gurney) merangkumi 50 hentian di lokasi-lokasi pelancongan menarik.

Waktu operasi adalah pada setiap hari bermula pada jam 9 pagi hingga 8 malam dan akan berhenti di setiap hentian selama 20 minit.

Harga tiket bagi dewasa bukan warganegara adalah RM45, RM19 (kanak-kanak), manakala bagi warganegara RM19 (dewasa) dan RM12 (kanak-kanak). Pakej keluarga yang menjimatkan turut ditawarkan.

Penggunaan tiket tersebut adalah sah pada tempoh 48 jam.

Bagi keterangan lanjut, sila hubungi talian 1-800-88-5546 atau layari laman sesawang, www.myhoponhopoff.com.