Hotel Iconic, harap tambah keunikan Seberang Perai

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TENGAH – Hotel Iconic bertaraf empat bintang yang baru dibuka di sini sejak Jun lalu berjumlah kos pelaburan RM60 juta. Sesuai dengan nama hotel itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap ia akan menambahkan lagi keunikan daerah Seberang Perai Tengah, khususnya Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah.

“Untuk menjadi bandar bertaraf antarabangsa, bukan sahaja dengan menjadikan bahagian pulau bertaraf antarabangsa, malah di bahagian Seberang Perai juga supaya lebih unik dan menarik pelabur.

“Saya percaya dengan pembukaan Hotel Iconic ini, taraf industri perhotelan dekat Seberang Perai dan negeri ini akan mengorak mara ke satu lagi tahap baharu,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Hotel Iconic di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna); Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan); Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) turut sertai majlis itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Guan Eng memberitahu, sejak tahun 2008, Hotel Aroma dekat Butterworth, The Light Hotel dekat Seberang Jaya, Hotel Ixora dekat Perai dan terbaru Hotel Iconic dekat Bukit Tengah merupakan antara hotel-hotel utama dibuka di Seberang Perai.

Sebelum itu, Pengerusi Kumpulan Iconic, Datuk Tan Kean Tet dalam ucapannya memberitahu, sebanyak 195 kamar Hotel Iconic menawarkan tiga jenis rekabentuk bilik unik, selain sajian makanan serta pelbagai kemudahan lain.