‘House of Roselle’, impian usahawan muda Ina Roselle

: ZARINA Abu Bakar sedang menyusun produk-produk keluaran beliau di premis beliau.
ZARINA Abu Bakar sedang menyusun produk-produk keluaran beliau di premis beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

BERBEKALKAN ilmu dalam bidang teknologi makanan, ‘kecantikan’ pada bunga roselle menjadi tarikan kepada Zarina Abu Bakar, 32, untuk ‘meneroka’ potensi tumbuhan tersebut.

 

Kenapa roselle? Soalan pertama dilontar penulis kepada beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Ina Roselle’ pada sesi temubual yang diatur sebelum itu.

 

Dengan tersenyum, beliau yang merupakan anak ke-empat daripada lima beradik memberitahu bahawa ia adalah disebabkan ‘kebaikan’ ia. Ini termasuk dari segi kesihatan dan juga komersial.

 

“Roselle atau nama saintifiknya, Hibiscus Sabdariffa merupakan ‘benda’ yang bagus, tapi orang kurang kenal dan kurang dikomersialkan.

 

“Kandungan vitamin C roselle adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah blackcurrant, di samping turut kaya dengan asid organik, protein dan mineral. Jusnya juga bagus untuk menyerap makanan dan menghalang masalah kesihatan.

 

“Malah, ia juga mampu merendahkan tahap kolesterol, menghapuskan lemak, mencegah kanser, melindungi hati dan jantung, melancarkan pusingan haid, cantikkan wajah, melancarkan tekanan darah serta membantu dan memudahkan seseorang untuk tidur,” jelasnya.

 

Berkongsi pengalaman beliau dalam bidang yang diceburi sejak enam tahun lalu, Ina menyatakan bahawa produk pertama dihasilkan beliau adalah kordial roselle.

 

“Biasanya, orang ‘makan’ roselle dengan merebus bunganya. Tapi, nak beli bunga roselle agak mahal harganya. Lalu saya terfikir nak buat kordial dan jus (produk kedua) sebagai alternatif.

 

“Untuk memperoleh ramuan, kualiti dan keaslian rasanya, saya gunakan tempoh kira-kira setahun. Selepas itu, barulah boleh maintain sampai sekarang,” ujar beliau yang berasal dari Kampung Pantai Kamloon, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU).

KORDIAL dan jus roselle.
KORDIAL dan jus roselle.

Mengulas lanjut, Ina menyatakan bahawa pada tahun pertama perniagaannya, beliau terpaksa ‘menjelajah’ dari kedai ke kedai sekitar kawasan berhampiran untuk memasarkan produknya.

 

Pada masa sama, pendekatan yang diakuinya agak memenatkan, tetapi seronok tersebut juga merupakan kaedah beliau mempelajari teknik melayan pelanggan dan memperoleh maklum balas daripada pihak-pihak pekedai mengenai produknya .

 

“Kira-kira 100 kedai saya letak dan ada yang tolak. Malah, sepanjang tempoh tersebut, apa yang lebih mencabar bagi diri saya adalah (saya) kena belajar dari mula mengenai skop pengurusan, pemasaran dan cara nak berurusan dengan orang (tauke serta pelanggan), sebab saya memang tiada pengalaman dalam bidang ini.

 

“Ada suatu masa saya ditipu. Bagi barang bernilai RM5,000, namun tidak dapat bayaran. Memang rasa down jugak tapi sabar,” ujar beliau yang sentiasa memperoleh sokongan daripada keluarganya.

 

Walaupun berasal dari keluarga pesawah dan tidak memiliki sebarang latar belakang dalam bidang keusahawanan, Ina lazimnya menyimpan impian untuk memiliki perniagaan sendiri pada usia 27 tahun.

 

“Alhamdullilah, saya capai cita-cita saya pada usia awal 26 tahun,” jelasnya sambil menyatakan bahawa beliau menyimpan duit sendiri untuk memulakan perusahaan berkaitan dan tidak pernah membuat sebarang pinjaman termasuk untuk membeli peralatan-peralatan diperlukan.

 

Memiliki prinsip tidak mudah putus asa dan suka cuba sampai berjaya, Ina mengakui bahawa dirinya adalah pantang dicabar.

AIR krim roselle yang amat enak dan menyegarkan.
AIR krim roselle yang amat enak dan menyegarkan.

“Setiap tahun, saya sasarkan untuk keluarkan tiga produk baru. Kini, produk yang memperoleh permintaan paling tinggi adalah jus roselle yang mana pasarannya telah sampai ke Ireland, Kemboja dan kini dalam proses memasuki Brunei (untuk kordial dan jus).

 

“Dalam tempoh terdekat, saya akan hasilkan kek, muffin, kuih pau, jem (untuk inti kuih raya) dan biskut roselle. Malah, saya juga telah hasilkan aiskrim roselle. Bagi tempahan, ia perlu ditempah dua hari sebelum bagi menjamin kualiti ia,” katanya.

 

Sebagai satu-satunya pengeluar produk di utara Semenanjung Malaysia, Ina menyatakan bahawa beliau ‘mengikat’ kontrak dengan para petani di sekitar sini untuk mendapatkan bekalan bunga roselle jenis hibrid, UMKL 1 secara berterusan.

 

“Saya terima bekalan bunga roselle sepanjang masa.

 

“Perbezaan roselle hibrid berbanding yang biasa adalah bunganya lebih besar dan kembang. Malah, kualiti jenis hibrid juga adalah lebih bagus, ujar Ina yang juga arif mengenai penanaman pokok roselle.

 

Bagi perancangan masa depan, Ina ingin memperkembangkan lagi perniagaannya.

 

“saya nak buka kedai francais sendiri yang dikenali ‘House of Roselle‘.

 

“Cabaran sebagai usahawan memang sentiasa ada. Namun, saya anggap ia sebagai cabaran dan ambil teguran sekiranya ia bernas.

 

“Bagi saya, prinsip yang perlu dipegang adalah sekiranya hendak membuat sesuatu, perlu buat sampai berjaya, jangan hanya di tengah jalan. Jika anda berhadapan dengan suatu peringkat yang ‘mengecewakan’, bangun semula dan buat balik,” serunya yang pernah memenangi anugerah Rural Business Challenge 2013 anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah di sini.

 

 

 

 

INFO :

ARINA FOOD ENTERPRISE

No. 3649, Pantai Kamloon,

13200 Kepala Batas, SPU.

 

Premis :

No. 21, Tingkat Bawah,

Persiaran Pokok Sena,

Pusat Perniagaan Pokok Sena,

13220 Kepala Batas, SPU.

 

010 – 774 8801/012 – 435 1973

 

 } else {