Hubungan P. Pinang – Belanda, rancak ekonomi gamit peluang baru

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Belanda adalah antara rakan dagang utama bagi Malaysia dengan kedua-dua buah negara telah memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Kesatuan Eropah (EU) – Malaysia pada 27 Februari 2010 yang  ilihat merancakkan lagi ekonomi negara.

Belanda merupakan rakan dagangan ke-lima terbesar bagi destinasi pengeksportan negeri pada tahun 2014 dengan anggaran €3.8 bilion dieksport dari Pulau Pinang dan €490 juta diimport dari Belanda ke Pulau Pinang.

Malah jumlah eksport dan import bagi kedua-dua entiti juga melonjak sebanyak 57 peratus bagi eksport dan 44 peratus (import) bagi tahun 2012.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Resepsi Perangkaian Belanda di sini baru-baru ini. Jelas Guan Eng, persekitaran yang terbuka dan kondusif serta rakyatnya yang berjiwa besar berjaya menggamit peluangpeluang baru serta kemasukkan syarikatsyarikat besar, usahawan-usahawan berjaya dan para pelabur ternama ke Pulau Pinang.

“Syarikat-syarikat Belanda secara konsisten telah melabur di Pulau Pinang sejak tahun 2008 dengan jumlah projek perkilangan yang diluluskan dari Belanda berjumlah RM2.5 bilion pada Julai 2014.

“Begitu juga, beberapa syarikat lain dari Belanda juga telah melabur sejak tahun lalu seperti Sanmina-SCI Systems (M) Sdn. Bhd., Kerry Ingredients (M) Sdn. Bhd., Telmar Network Technology Sdn. Bhd. dan Philips Lumileds Lighting Co., iaitu perintis penggunaan lampu keadaan pepejal (solidstate lighting).

Malah, Shell juga telah beroperasi di Butterworth sejak 1891,” katanya. Tambah beliau, sektor perkilangan dan perkhidmatan masing-masing menyumbang sebanyak 48 peratus dan 47 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Pulau Pinang yang berjumlah RM63 bilion pada 2013.

“Pada tahun 2013, sektor perkhidmatan Pulau Pinang mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 5 . 8 peratus berbanding kadar pertumbuhan dalam negara.

“Pulau Pinang juga menyumbang sebanyak 25 peratus daripada eksport dan import Malaysia. “Hal ini menunjukkan bahawa ekonomi Pulau Pinang berkembang pesat dengan keseimbangan pembangunan antara sektor perkilangan dan perkhidmatan,” ujarnya yang berharap agar Pulau Pinang menjadi sebuah hab ideal bagi kedua-dua sektor berkaitan. Dalam pada itu, Duta Belanda ke Malaysia, H.E. Harry Molenaar memberitahu bahawa Belanda sedia bekerjasama untuk mengukuhkan jalinan perdagangan dan pengkomersilan termasuk pada aspek pembangunan modal insan (people-to-people relationship).

Molenaar turut menyatakan kesediaan Belanda untuk berkerjasama dan menyumbang perkongsian kepakaran dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

“Kami (Belanda) bukan sahaja mempelawa rakan-rakan di sini untuk beroperasi di Belanda, sebaliknya turut bekerjasama mendapatkan rakan kongsi yang bersesuaian melalui pelbagai program termasuk majlis suai padan perniagaan dan perangkaian seperti ini.

“Banyak yang Belanda ingin tawarkan terutama dari segi kepakaran infrastruktur memandangkan kami (Belanda) mempunyai kepakaran dalam bidang pengangkutan alternatif, tebus guna tanah dan pengurusan air. 

Kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan kelak,” katanya.

Majlis Resepsi Perangkaian Belanda dianjurkan Malaysian Dutch Business Council (MDBC) turut dihadiri Pengarah Eksekutif MDBC, Micro Winter; Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Terdahulu, Molenaar dan Winter hadir ke pejabat Ketua Menteri di Komtar bagi membincangkan peluang-peluang yang dapat diwujudkan sebagai rakan dagangan. Turut serta dalam pertemuan selama dua jam itu ialah Pegawai Kanan Ekonomi dan Perdagangan Belanda, Christine Lai dan Pegawai Kanan Pertanian Belanda, Li Huan Hoh.