‘I Love Penang Bendang Walk 2017’ semarak kempen Saya <3 Pulau Pinang

I <3 PENANG BENDANG WALK PROMOSI GAYA HIDUP SIHAT… Buat julung kali, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Barat Daya (PDTDBD) mengambil inisiatif menganjurkan I <3 Penang Bendang Walk 2017 sebagai menyemarakkan semangat Saya <3 Pulau Pinang dalam kalangan warga Balik Pulau.

Hasil kerjasama dan sokongan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, penganjuran berkaitan memperoleh penyertaan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Penyelaras Program, Mohd. Farouk Varusai Mohd. (Penghulu Kanan PDTDBD) berkata, objektif penganjuran adalah untuk memberi kesedaran kepada komuniti setempat berhubung amalan gaya hidup sihat.

“Ribuan terima kasih atas penyertaan masyarakat serta sokongan yang diberikan. Kita akan terus menganjurkan program sedemikian pada masa hadapan demi kepentingan kesihatan bersama,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Selain senamrobik dan acara berjalan kaki merentasi bendang, lebih 100 hadiah cabutan bertuah turut ditawarkan.

Hadir sama memeriahkan majlis, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail; Halil Sabri Hamid (PPK Teluk Bahang) serta Penghulu-penghulu Daerah.