IFPRA kongsi & cari idea urus kawasan hijau bandar

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Persidangan Urban Green Space and International Federation of Parks and Recreation Administration 2014 (IFPRA) yang julung kali diadakan dalam negara membuka peluang kepada 100 peserta dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman serta mencari kaedah terbaik dalam mewujudkan keseimbangan pembangunan dan pemuliharaan sumber asli di kawasan bandar.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, penduduk bandar tidak mempunyai peluang yang banyak untuk meneroka hutan semulajadi, justeru, kawasan bandar hijau seharusnya digunakan untuk menyemai rasa cintakan alam semulajadi dalam kalangan golongan berkenaan.

Beliau yang hadir menyempurnakan majlis perasmian persidangan tersebut turut mengakui cabaran yang begitu besar dalam menguruskan kawasan hijau bandar memandangkan keperluan berbeza-beza daripada pelbagai lapisan penduduk.

“Justeru, pelbagai program dan kemudahan menarik perlu disedia serta diselenggara bagi menggalakkan penduduk mengamalkan cara hidup sihat.

“Ini termasuk program-program berkaitan alam sekitar yang sesuai untuk generasi muda serta penduduk membabitkan semua peringkat umur.

“Ianya penting bukan sahaja bagi memastikan status taman tersebut terus dikekalkan, malah juga, menimbulkan semangat kekitaan dalam kalangan pengguna untuk memulihara sumber-sumber alam semulajadi,” katanya pada persidangan berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah FRIM, Dr. Ismail Harun, Presiden IFPRA, Emanuel Trueb dan wakil-wakil Ahli Asia Pasifik IFPRA.

Seramai 100 peserta dari Switzerland, Afrika Selatan, United Kingdom, Jepun, New Zealand, Australia, Denmark dan wakil-wakil negeri hadir.

Persidangan tiga hari yang merupakan anjuran bersama MPPP, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan IFPRA dengan sokongan Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan (IUFRO) turut memperlihatkan 38 pembentangan pelbagai topik oleh penceramah- penceramah tempatan dan asing termasuk pakar-pakar antarabangsa.

Ini adalah merangkumi pelbagai aspek perhutanan bandar seperti penjagaan pokok, fungsi ekologi dan sosiologi, keperluan manusia, pendidikan dan cara-cara menangani kumpulan-kumpulan pengguna berbeza.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu bahawa kawasan hijau bandar dapat mengurangkan bunyi bising dan pencemaran udara selain memberi pelbagai faedah kepada hidupan liar serta penduduk bandar dari segi keperluan sosiologi, fisiologi serta kerohanian masing-masing.