Inap desa martabat industri pelancongan negeri

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PERMATANG BERANGAN – Kerajaan Negeri kini giat memperkenalkan homestay atau inapan pelancongan desa kepada para pelancong dari dalam luar negeri sebagai salah satu langkah memartabatkan industri pelancongan negeri.

Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang berkata demikian ketika merasmikan Karnival Apresiasi Homestay Lahar Yooi 2015 di Pusat Penempatan Banjir Kampung Lubuk Meriam di sini baru-baru ini.

Menurutnya, karnival seumpama itu adalah bertujuan untuk memperkenalkan inap desa kepada masyarakat dan agen pelancongan.

“Karnival ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan Seberang Perai sebagai lokasi pelancongan kerana ia (Seberang Perai) juga adalah sebahagian daripada Pulau Pinang.

“Malah, turut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri komited mempromosikan pelancongan inap desa kepada pelancong dari dalam dan luar negeri supaya golongan tersebut dapat menikmati cara hidup kampung di sini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang.

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPU), Saodah Nawawi dan Pengerusi Homestay Pulau Pinang, Rohaizat Othman turut sama hadir.

Tambah Heng Kiang, banyak kawasan dan aktiviti menarik yang dapat disertai para pelancong di sini.

“Contohnya, di kawasan Lahar Yooi, pelancong dapat mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang membuat kerepek, pemprosesan rokok daun dan menyusuri Sungai Perai serta menikmati juadah-juadah istimewa di kawasan ini.

“Bagi peminat burung, mereka dapat manjalankan aktiviti melihat burung sambil menikmati pemandangan hijau di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam,” jelas beliau.

Sehingga kini, terdapat 11 kawasan inap desa di negeri ini iaitu di Pulau Betong, Teluk Bahang, Mengkuang Titi, Kota Aur, Pulau Aman, Sungai Semilang, Sungai Setar, Sungai Chenaam, Sungai Duri dan yang terbaru di Lahar Yooi.