Industri hias kopi lumayan untuk usahawan muda – TKMI

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AMANDA KHONG XIA LING

PANTAI JEREJAK – Seni latte atau seni menghias kopi mampu menjana pulangan lumayan untuk usahawan muda di negeri ini, sekiranya unik serta menambat hati pelanggan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian pada penganjuran Arabica Estate Asia Latte Championship 2016 di sini baru-baru ini.

“Sekarang banyak juga pemainpemain industri berkaitan kopi, membuka akademi dan kelas kepada orang ramai untuk mempelajari seni membancuh serta menghias kopi agar kelihatan lebih menarik.

“Justeru, saya harap anak-anak muda yang mungkin masih mencari pekerjaan boleh mencuba untuk mengikuti kursus di mana-mana akademi dan terus memulakan kerjaya sebagai barista berjaya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Turut serta, Pengarah Urusan Arabica Estate, Cheah Chin Heng.

Dalam pertandingan tersebut, Quek Siew Lhek menggondol tempat pertama dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000, trofi, mesin pengisar kopi dan sijil.

Eng Boon Hong yang memenangi tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM2,000, mesin pembancuh kopi dan sijil.

Manakala di tempat ketiga dimenangi, Sittipong Yongsiri dari Thailand, dengan hadiah wang tunai RM1,500, ‘french press’ dan sijil.

Arabica Estate Asia Latte Championship 2016 mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menerima penyertaan dari Thailand, Singapura dan Indonesia.}