Ingkar bayar kompaun, MBPP senarai hitam lesen perniagaan

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyenaraihitamkan pemilik lesen perniagaan yang didapati mempunyai kompaun tertunggak.

Ahli Majlis bagi MBPP, Ong Ah Teong berkata, tindakan tersebut sudah dikuatkuasa serta-merta. “Kita (MBPP) tidak akan membenarkan lagi para peniaga yang ingkar ini memperbaharui lesen perniagaan.

“Hanya selepas mereka (peniaga ingkar) membayar kompaun baru kita (MBPP) akan benarkan pembaharuan semula lesen perniagaan masing-masing,” ujarnya pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 9 Tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Apabila ditanya berkenaan pembinaan pasar awam di kawasan pulau, Ah Teong memaklumkan bahawa terdapat lima pasar awam kini dalam perancangan MBPP.

“Antaranya, pasar awam di Teluk Kumbar, Batu Maung, Sungai Batu, Lembah Permai dan Batu Feringghi.

“Daripada jumlah itu, cuma pasar awam di Batu Feringghi sahaja yang sudah siap, dan lain-lain (pasar awam) dimasukkan di dalam pelan penyediaan pasar oleh MBPP bagi tempoh 10 tahun,” jelasnya.