ISEC serlahkan negeri destinasi pelancongan perubatan pilihan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembukaan pusat pakar penjagaan mata International Specialist Eye Centre (ISEC)  dekat Jalan Burma, di sini sekaligus menyerlahkan status Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pilihan pelancongan perubatan di rantau ini.

“Memiliki pelbagai sub-kepakaran pakar mata akan membantu Pulau Pinang mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi paling popular dalam pelancongan perubatan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan ISEC di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey turut menyertai majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ISEC, Dr. Wong Jun Shyan, Dr. Alan Ang (Pengarah Perubatan ISEC Pulau Pinang) dan Dr. Tsiang Ung (pakar perunding mata ISEC).

Menurut Guan Eng, permintaan pada konsultasi perubatan di negeri ini sebenarnya agak tinggi, sama ada daripada warga emas mahupun muda.

“Gangguan penglihatan yang lazim berlaku seperti katarak dan glaukoma …tetapi keperluan menjaga kesihatan secara berkualiti tidak terhad kepada warga emas sahaja, malah orang muda juga,” jelas Guan Eng.

Sebelum itu, Jun Shyan menjelaskan bahawa firma pakar penjagaan mata tersebut ditubuhkan di negara ini pada tahun 2007, sebelum melebarkan sayapnya di negeri ini, kini.

“Kami memulakan operasi pada tahun 2007 di Kuala Lumpur dengan sekumpulan doktor pakar sakit mata supaya ISEC boleh diangkat sebagai sebuah lagi institusi perubatan di peringkat dunia,” katanya.

Jelas Jun Shyan, pembukaan ISEC di negeri ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan impian asal penubuhan ISEC berkenaan.

Dianggarkan, lebih 80,000 pesakit mengunjungi ISEC tiap-tiap tahun, dengan lebih 10,000 pembedahan mata dilakukan oleh institusi pakar mata berkaitan.