JA Solar Malaysia tambah pelaburan RM200 juta di P. Pinang

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar: ALISSALA THIAN

BATU MAUNG – Syarikat pengeluar produk solar berprestasi tinggi dunia, JA Solar Holdings Co. Ltd. yang berpengkalan di China terus memilih Pulau Pinang untuk melebarkan operasinya dengan pelaburan tambahan bernilai RM200 juta.

Pelaburan menerusi anak syarikatnya, JA Solar Malaysia Sdn. Bhd. (JA Solar) itu adalah bagi melebarkan operasi sedia ada melalui pembangunan Fasa Kedua JA Solar di Zon Industri Bebas Bayan Lepas (FTZ) Fasa 4 di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyempurnakan majlis perasmian pembangunan kilang Fasa Kedua berkaitan turut menyatakan bahawa tambahan pelaburan berkaitan bakal menyediakan kira-kira 300 peluang pekerjaan baru.

“Saya yakin pembukaan tersebut mampu memastikan Pulau Pinang dan juga Malaysia kekal di barisan hadapan dalam industri solar,’’ ucapnya pada majlis berkaitan yang diadakan serentak dengan Majlis Ulang Tahun Pertama syarikat pengeluar berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden JA Solar Holdings Co. Ltd., Xie Jian dan Konsul Besar Republik China di Pulau Pinang, Wu Jun.

Difahamkan, pada suku pertama tahun ini (2016), jumlah pengeluaran pembuatan sel solar JA Solar Holdings Co. Ltd. mencecah 1,381 megawatt dan JA Solar Malaysia menyumbang 11 peratus daripada jumlah tersebut.

Menurut Guan Eng, pelaburan tambahan daripada syarikat pengeluar sel solar bertaraf antarabangsa tersebut mencerminkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negeri ini.

“Tahun lalu (2015), JA Solar telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan untuk pelancaran kilang pengeluaran pertamanya luar dari China.

“Saya percaya, inisiatif berterusan Pulau Pinang untuk mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan dan pelaburan telah meyakinkan JA Solar untuk mengembangkan operasi sedia ada di sini.

“Selain daripada meningkatkan kapasiti pengeluaran pembuatan, pelaburan tambahan ini juga membolehkan JA Solar memperkenalkan teknologi baru seperti penghasilan sel solar terkini dikenali percium,” ujar beliau.

} else {