Jalur Merah MPSP siap siaga hadapi bencana

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai langkah kesiagaan menghadapi bencana di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kenderaan bertaraf Euro3 itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti chasis 13 tan pacuan empat roda berkuasa 240 (hp), centrifugal pump (pam empar) berkapasiti 3,000 liter per minit, tangki air (5,000 liter) dan boleh memuatkan seramai lima hingga enam anggota pada satu masa.

“Berdasarkan pengalaman daripada bencana banjir besar tahun lepas, MPSP telah mengambil langkah proaktif iaitu dengan menjenamakan semula skuad khas sebagai satu jabatan dengan penambahan anggota daripada 152 kepada 172 orang dan membeli sebuah kenderaan MPV berharga RM742,000.

“Kenderaan ini akan digunakan bagi memberi tindak balas semasa bencana seperti kebakaran, banjir, pokok tumbang tumpahan minyak dan sebagainya di samping melaksanakan aktiviti-aktiviti pembersihan awam.

Menurut Rozali, kenderaan yang dinamakan sebagai Jalur Merah itu juga boleh digunakan untuk memasuki kawasan tidak rata dan berlopak serta kawasan dilanda banjir untuk tujuan menyelamat.

“MPV ini juga bertepatan dengan konsep bandaraya rendah karbon kerana menggabungkan fungsi beberapa kenderaan dalam satu kenderaan yang secara langsung menyumbang ke arah pengurangan karbon,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-ahli Majlis MPSP.

Selain itu, kata Rozali, MPSP juga melancarkan Pelan Pengurusan Risiko Bencana Seberang Perai pada Disember tahun lepas yang terdiri daripada tiga pelan utama, iaitu Pelan Pengurusan Risiko Bencana, Pelan Pengurusan Krisis Bencana serta Pelan Pengurusan Pemulihan Bencana.

“Kita (MPSP) juga akan melancarkan Seberang Perai Humanitarian, Emergency and Risk Management pada Mac 2018 dan program Pembinaan Kapasiti melibatkan kakitangan dari beberapa jabatan untuk meningkatkan kecekapan memberi respons terhadap bencana melalui program-program latihan yang akan dijalankan,” jelasnya.

 

Pada 4 November tahun lepas, banjir besar yang melanda Pulau Pinang telah menjejaskan 8,598 penduduk di tiga daerah di kawasan Seberang Perai yang memaksa MPSP menjalankan kerja-kerja pemulihan selama 12 hari.


Cateogry: PBT

Comments are closed.



Latest Articles

Like Our Facebook Page

Download Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Recent Comments

  1. Link telah dibaiki. Sila cuba lagi sekal... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013
  2. Buletin Mutiara 16-30 Mei 2013 Edisi Bah... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013

Archives