Jangan ‘curi-curi’ pasang AES di P.Pinang, nasihat KM

PADANG LALANG – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dikatakan berhasrat melaksanakan semula saman ekor supaya tidak ‘curi-curi’ memasang kamera AES di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP memberi nasihat terbuka itu ketika menyampaikan RM300 insentif perkhidmatan kepada 405 pemandu teksi dan 305 operator bas sekolah dari bahagian Seberang Perai baru-baru ini.

“Saya difahamkan, dia (Tiong Lai) mahu pulihkan saman ekor… saya pun tak tahu sama ada dia nak laksanakan di Pulau Pinang atau tidak.

“Tapi, saya harap jangan curi-curi pasang,” nasihatnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Pengerusi Persatuan Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang (GABUNGAN) Pulau Pinang, Abdul Malik Darus; dan Setiausaha Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang, Law Khim Ching.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; ADUN Jawi, Soon Lip Chee; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Pegawai Daerah SPT, Zulkifli Long.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri akan terus mengambil pendirian membantah langkah Putrajaya itu sekiranya menerima bantahan daripada majoriti rakyat, termasuk pemandu teksi dan operator bas sekolah.

“Kalau saya tidak silap, jika dia (Tiong Lai) nak pasang kamera AES mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Kerajaan Negeri menerusi pihak kerajaan tempatan.

“Jadi, saya nak tanya, adakah Tuan-Tuan dan Puan – Puan bersetuju dengan pelaksanaan semula AES ini,” tanya beliau.

Majoriti hadirin dalam dewan berdiri sambil melafazkan ‘tak bersetuju’ dengan hasrat Tiong Lai itu. Terdahulu, Kabinet pada 11 Ogos 2010 memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya, buat sementara waktu sehingga 28 Februari 2011, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

Datuk Seri Kong Cho Ha yang ketika itu merupakan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa, keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai serta ahli jemaah menteri.

Pelaksanaan AES membolehkan kenderaan dipandu laju melebihi had ditetapkan dikenakan saman RM300.

Sistem AES yang dimiliki oleh Kementerian Pengangkutan serta dikendalikan entiti swasta, Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Commercial Circle (M) Sdn. Bhd. mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012.