Jangan hanya menanam tebu di pinggir bibir, sebaliknya perlu berani bertindak demi perubahan

Admin

AIR ITAM – Pelbagai perubahan dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Antara pencapaian terbesar menurutnya adalah label ‘Pulau Pinang Darul Sampah’ dahulu dapat dihakiskan sepenuhnya, malah turut mendapat pengiktirafan sebagai salah satu bandar raya terbersih di ASEAN.

“Pulau Pinang kini bukan sahaja lebih bersih tetapi juga lebih hijau, lebih sihat dan lebih selamat. “Jangan hanya pandai menanam tebu di pinggir bibir sahaja setiap kali menjelang pilihanraya, tetapi mestilah berani bertindak demi melihat perubahan.

“(Dan) kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) tidak hanya berjanji, sebaliknya juga berani melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

“Selain itu, kita juga beri peluang kepada bakat (modal insan untuk berkembang) bukannya guna ‘kabel politik’… contoh terbaik adalah Dato’ Maimunah (mantan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif) yang kini menjawat jawatan tertinggi di UN-Habitat.

“Kejayaan beliau adalah kerana Kerajaan Negeri memberikan peluang untuk melakukan perubahan, dan beliau (Maimunah) sahut peluang itu,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Bukit Gelugor dekat Padang Desa Mawar di sini 25 Februari lalu.

Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai; ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih turut menyeru agar rakyat berani membuat perubahan pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

“Hal ini kerana, rakyat kini kian berasa tertekan dengan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

“Sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU nanti dan berjaya ke Putrajaya, kita akan hapuskan GST sama sekali kerana apa, kerana di Pulau Pinang kita telah buktikan tanpa kutip GST pun kita mampu berkongsi sama rakyat (melalui Program-program Emas).

“Kalau kita (Pakatan Harapan) menang Putrajaya, BR1M (insentif bantuan rakyat) akan kekal dibayar… Tuan-tuan tahu tak, Kerajaan Persekutuan kutip GST setahun hampir RM45 bilion, tetapi beri sama rakyat cuma RM7 bilion (melalui BR1M).

“Bukan itu sahaja, sekiranya GST tidak dihapuskan, ia akan terus naik sama seperti di Singapura yang kini 9 peratus GSTnya.. Sedangkan mereka mula dengan 3 peratus sahaja, tetapi di Malaysia kita mula dengan 6 peratus, silap-silap boleh kena sampai 18 peratus,” ujarnya.

Guan Eng juga memaklumkan bahawa Pulau Pinang seringkali didiskriminasikan.

“Mana tidaknya, wang untuk bantuan mangsa banjir Pusat diperuntukkan RM235 juta, tetapi Pulau Pinang hanya terima RM35,500…ini bukan diskriminasikah? Sedangkan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri memberikan bantuan (kepada mangsa banjir) seperti yang dijanjikan.

“Sebab itu, saya menyeru agar kita semua berani buat perubahan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara kita pada masa hadapan khususnya di Pulau Pinang,” serunya sambil melaungkan kata-kata semangat perayaan.

Selain juadah yang menyelerakan dihidang, hampir 1,000 tetamu yang hadir turut diraikan dengan pelbagai persembahan termasuk paparan visual ‘Suara Rakyat’ 10 tahun di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang’.