Jangan lupa asal-usul, berani cuba sesuatu lebih besar, Dr. Muzlifah

PENYELIDIKAN mengenai fungsi fagosit mononuklear manusia iaitu sekelompok sel darah putih yang terdiri daripada sel dendritik, monosit dan makrofag yang mengawal respons imun, bukan sahaja melonjakkan nama PROF. DR. MUZLIFAH AISHA HANIFFA, malah turut menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Felo Penyelidik Kanan dalam Sains Klinikal serta Pensyarah dan Perunding Pakar Dermatologi di Newcastle University, United Kingdom (UK) tersebut dinobatkan sebagai penerima Lister Institute Research Prize Fellowship pada Mei 2016.

Kagum dengan beliau, wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF dan jurugambar, ALISSALA THIAN telah mengikuti ceramah beliau berkaitan sel dendritik, monosit dan progenitor terhadap imun bertempat di Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) baru-baru ini.

JANGAN SESEKALI LUPAKAN ASAL-USUL

Pengiktirafan tersebut melayakkan beliau menerima sejumlah 200,000 pound sterling British iaitu bersamaan RM1.9 juta yang akan digunakan sebagai perintis untuk tempoh lima tahun dalam membangunkan penyelidikannya terhadap strategi vaksinasi sedia ada dan rawatan baru untuk penyakit kanser.

Ketika Buletin Mutiara menghampiri wanita berjiwa besar ini, Muzlifah menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan penghargaan amat bermakna dalam kerjayanya, berikutan setiap tahun, hanya tiga hingga lima penyelidikan sahaja terpilih dan diberikan (pengiktirafan) dalam kalangan masyarakat di UK.

“Apa yang menjadi faktor kejayaan saya ialah kerja keras, bulatkan tekad dalam apa jua penyelidikan yang dilakukan dan jadi kreatif.

“Yang lebih penting, kita bukan sahaja perlu bercita-cita tinggi dan berimpian besar, tetapi di mana saja kita berpijak, jangan sesekali lupakan asal-usul,” katanya memulakan perbualan.

Selain anugerah berkenaan, sebelumnya, Muzlifah turut banyak menerima penghargaan tertinggi lain di peringkat antarabangsa iaitu European Society for Dermatology Research LEO Pharma Research Foundation Silver Award pada tahun 2013; The British Society for Investigative Dermatology Young Investigator Award (2012) dan Sue McCarthy Prize (runner-up) for the UK Medical Research Society Young Investigator Award (2009).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kejayaannya juga banyak didorong oleh kejayaan saintis-saintis lain.

“Mereka banyak berikan nasihat dan idea berbeza dalam kerjaya saya, dari situ saya dapat belajar dan meningkatkan diri” ujarnya.

LATAR BELAKANG

Di sebalik kehebatan anak kelahiran Pulau Pinang ini, mungkin ramai yang tidak mengetahui cerita di sebalik sumber inspirasi beliau sehingga membawa kejayaan besar buat dirinya kini.

Menurut bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Convent, Green Lane itu, beliau begitu meminati bidang sains, dan bapa saudaranya yang merupakan seorang doktor adalah sumber inspirasinya.

“Banyak yang menjadi faktor pendorong kepada permulaan kerjaya saya hari ini. “Salah satunya, apabila melihat pakcik menjadi doktor pertama di dalam keluarga… saya menjadi begitu tertarik dan berkobarkobar ingin menjadi sepertinya,” jelasnya.

Bertitik-tolak dari situ, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan meneruskan pelajarannya di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan pada 1986 hingga 1990, dan kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi bawah seliaan Universiti Sains Malaysia (USM).

Setelah tamat matrikulasi selama dua tahun di USM, beliau kemudian berhijrah ke Britain (UK) dan memulakan kerjayanya dalam bidang penyelidikan perubatan kira-kira 20 tahun lalu.

STEM, GENERASI MUDA & WANITA

Seiring dengan penekanan yang dilaungkan Kerajaan Negeri, Muzlifah menegaskan bahawa generasi muda perlu didedah serta diberikan tumpuan terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Sejak awal, saya sering menekankan bahawa bidang STEM ini berkait rapat dengan kehidupan manusia dan bersifat esoterik.

“Semua orang, terutamanya generasi muda boleh terlibat sama dan mengambil bahagian dengan banyak cara.

“Selain golongan muda, penekanan dalam bidang ini juga perlu melibatkan kepelbagaian latar belakang iaitu dengan mempunyai lebih ramai golongan wanita yang menceburi bidang khusus ini.

“Kepelbagaian akan memberikan nilai yang sangat berbeza dan menjadikannya lebih kuat,” katanya.

JANGAN TERGOLONG DALAM KUMPULAN STEREOTAIP MASYARAKAT

Ulasnya lanjut, Muzlifah berharap golongan Hawa yang merupakan induk kepada masyarakat boleh pergi lebih jauh.

“Apa yang ingin saya katakan pada kaum wanita ialah go for it…. berani untuk melakukan perbezaan, yakin terhadap diri sendiri.

“Jika saya boleh menjadi saintis, anda di luar sana juga mampu berbuat demikian. Jangan hanya tergolong di dalam kumpulan stereotaip masyarakat sahaja, berani untuk mencuba sesuatu yang lebih besar,” nasihat beliau.

PULAU PINANG

Bercerita mengenai Pulau Pinang, Muzlifah yang amat low profile perwatakannya ternyata begitu gembira apabila berpeluang pulang sebentar ke kampung halamannya di sini.

“Saya gembira dapat kembali ke Pulau Pinang!

“Selain dapat mengunjungi saudara-mara di sini, yang lebih gembira apabila dapat menikmati makanan Penang, terutamanya durian.

“Ia adalah peluang yang baik untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta memberikan inspirasi bersama orang-orang di sini,” ujarnya mengakhiri perbualan kami.