Jayakan pengasingan sisa demi generasi masa depan

PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru penduduk pangsapuri Sun Moon City untuk sama-sama membantu menjayakan inisiatif Pengasingan Sisa Di Punca.

Katanya, sejak 2010, Kerajaan Negeri telah menggerakkan usaha pengurusan sisa dan pembersihan awam negeri di bawah transformasi Dasar Cleaner, Greener, Safer, Healthier Penang.

“Di bawah dasar tersebut, Pulau Pinang bukan sahaja lebih bersih, lebih hijau, malah kadar kitar semula turut meningkat berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kini, Kerajaan Negeri mewujudkan satu sistem yang lebih dan mampan setanding bandar-bandar antarabangsa maju lain, mulai 1 Jun lalu iaitu pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

“Oleh itu, saya harap penduduk di sini dapat sama-sama membantu Kerajaan Negeri menjayakan dasar ini demi generasi akan datang,” katanya ketika hadir merasmikan Projek Pengasingan Sisa di Punca di perumahan kos rendah, Sun Moon City di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta beberapa Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Soon Hin memberitahu bahawa beliau mengambil pendekatan efektif dengan mengadakan pelbagai seminar dan forum bagi menerangkan secara jelas pelaksanaan projek berkaitan.

“Paya Terubong mempunyai kepadatan penduduk yang ramai, malah merupakan kawasan yang mempunyai pemilih (pengundi) tertinggi di Pulau Pinang.

“Justeru, mekanisme yang betul dan jelas perlu diberitahu (kepada penduduk) agar dasar ini (Pengasingan Sisa Di Punca) dilaksanakan dengan jayanya.

“Sekiranya penduduk Paya Terubong berjaya melaksanakan, bermakna sasaran Pulau Pinang ke arah kadar kitar semula tertinggi menjelang tahun 2020 pasti berjaya dicapai,” jelasnya.

Bermula 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif pengurusan sisa terbaru, Pengasingan Sisa di Punca bagi seluruh negeri Pulau Pinang.

Pelaksanaannya bukan sahaja melibatkan penduduk di kawasankawasan kediaman malah turut melibatkan premis-premis perniagaan, perhotelan dan bangunan-bangunan kerajaan.

} else {