Jelajah MSNPP tarik minat anak muda ceburi sukan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN BARU – Dalam usaha untuk menarik lebih ramai golongan muda terutamanya kanak-kanak agar berkecimpung dalam bidang sukan, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) buat julung kalinya menganjurkan Siri Jelajah MSNPP 2015 di sini baru-baru ini.

Jelajah siri pertama berkenaan bukan sahaja bertujuan mendedahkan orang ramai dengan sukan massa sebaliknya sukan berprestasi tinggi. Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng dalam ucapannya berkata, inisiatif tersebut mampu membuka minda ibu bapa agar mengalakkan anak masing-masing berkecimpung di dalam bidang sukan.

“Usaha ini adalah sejajar dengan paradigma Pulau Pinang untuk memperkasakan para belia melalui sukan.

“Kesedaran orang ramai tentang beberapa sukan massa dan sukan berprestasi tinggi ini akan menggalakkan peningkatan dari aspek penglibatan.

“Secara tak langsungnya, ia turut akan mewujudkan lebih banyak kemudahan sukan pada masa akan datang,” ucapnya pada Majlis Perasmian Jelajah MSNPP 2015 Siri Pertama di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi II MSNPP, Datuk Ong Poh Eng, Pengarah MSNPP, Federick Tan dan Pengurus Komunikasi Pemasaran Pusat Membeli-belah Queensbay, Christopher Koh.

Sepanjang tempoh dua hari jelajah tersebut berlangsung, orang ramai didedahkan dengan pelbagai persembahan para atlet membabitkan sukan wushu, taekwando, gimrama, silambam, karate, silat dan renang berirama.

Menurut Chong Eng, jelajah berkenaan juga mampu memberikan pendedahan berbeza khasnya buat atlet yang seringkali hanya dapat beraksi di arena pertandingan.

“Melalui demonstrasi di hadapan khalayak ramai ini, saya pasti pengalaman atlet dapat ditingkatkan dari segi membentuk kekuatan mental dan keyakinan diri apabila berdepan dengan situasi yang berbeza,” ujar beliau.