Jerebu, MPgesa Pusat manfaatkanAEC

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa Kerajaan Malaysia supaya memanfaatkan hubungan erat dengan Asean Economy Community (AEC) untuk membantu Indonesia menangani aktiviti pembakaran hutan secara besar-besaran yang dikenalpasti saban tahun.

Katanya, platform antarabangsa yang ditubuhkan untuk menjayakan integrasi ekonomi membabitkan negara-negara anggota ASEAN perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan krisis jerebu kini meninggalkan kesan berantai pada sosio ekomoni rantau ini.

“Saya menggesa Kerajaan menggunakan peluang hubungan lebih erat Asean Economic Community yang bermula pada 2015 dengan mendesak Indonesia supaya menyelesaikan masalah ini agar ia tidak berlarutan pada setiap tahun.

“Kerajaan Singapura telahpun mengeluarkan kenyataan untuk membantu Indonesia menyelesaikan masalah ini, dan saya berharap Kerajaan Malaysia juga memberi gesaan lebih kuat,” katanya ketika ditemui pada Program Pengedaran Topeng Muka di Pasar Besar Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng, Pemangku Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rosnani Mahmud serta dua Ahli Majlis MPSP, Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani dan Micheal Tan Cheong Heng.

Tambah Steven, para penduduk khususnya golongan peniaga memberi maklum balas bahawa perniagaan masing-masing terjejas disebabkan krisis jerebu berkaitan.

“Ramai orang yang tidak mahu keluar rumah pada musim jerebu ini, jadi ia memberi kesan ekonomi kepada para-para peniaga kecil seperti di pasar awam, dan ini adalah perkara yang berat,” ujar beliau.