Jin Wei, Lu Yi terima insentif SKIMAS tanda penghargaan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Pemain perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, 15, dan atlet wushu Pulau Pinang, Chan Lu Yi, 18, masing-masing menerima insentif berjumlah RM24,000 di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyempurnakan majlis penyampaian insentif berkenaan memuji pencapaian cemerlang kedua-dua atlet pelapis tersebut di kejohanan dunia barubaru ini.

“Saya yakin pencapaian cemerlang Jin Wei dan Lu Yi pada hari ini akan diteruskan dan tidak akan berakhir di sini.

“Saya harap lebih ramai atlet pelapis kelahiran Pulau Pinang dapat menonjolkan prestasi cemerlang sekaligus mengharumkan nama negeri dan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng. Menurut Chong Eng, beliau berharap lebih ramai ibu bapa dapat mempertimbangkan acara sukan sebagai alternatif kerjaya untuk anak-anak mereka.

“Sukan boleh menjadi alternatif untuk anak-anak kita berjaya dalam hidup sama ada sebagai kerjaya sepenuh masa mahupun sambilan,” ujar beliau.

Jin Wei melakar sejarahnya tersendiri sebagai pemain perseorangan badminton wanita Malaysia yang pertama menjuarai Kejohanan Dunia Badminton Remaja di Lima, Peru pada 15 November 2015.

Pemain ranking kelima juara remaja tersebut menewaskan rakan senegara, Lee Ying Ying, 18, pada set kedua dengan catatan 21-15, 21-16 dalam masa 35 minit.

Penganjuran tersebut merupakan kali ketiga Jin Wei bertanding dalam kejohanan dunia badminton remaja.

Dalam pada itu, Lu Yi pula, merangkul pingat emas dalam kategori taiqiquan pada Kejohanan Wushu ke-13 yang berlangsung di Stadium Karno Utama Gelora Bung, Senayan, Indonesia pada 16 November 2015 anjuran Persekutuan Wushu Antarabangsa.

} else {