JKKK Bukit Panchor tubuh Pusat Sumber Alam Sekitar

Admin

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee berjaya mempromosikan Program Bersih dan Hijau sebagaimana dianjurkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada penduduk di kawasannya di sini.

Kejayaan itu adalah berikutan perasmian Pusat Sumber Alam Sekitar yang ditubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Panchor di sini baru-baru ini.

Lip Chee pada majlis perasmian tersebut memberitahu, penubuhan tersebut adalah hasil inisiatif beliau dengan kerjasama JKKK terbabit bagi memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Ini merupakan pusat sumber alam sekitar kedua yang ditubuhkan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi.

“Pusat sumber yang sama telah ditubuhkan pada tahun lepas di Perkampungan Jawi,” katanya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Dalam pada itu, menurut Rozali, usaha yang dijalankan Lip Chee harus dijadikan contoh kepada komuniti-komuniti lain berhubung inisiatif penjagaan alam sekitar.

“Saya difahamkan, seramai 110 penduduk telah mengambil bahagian dalam program penghasilan kompos pada tahun 2011 dan masih lagi aktif sehingga kini.

“Usaha seperti ini wajar dicontohi komuniti lain kerana di samping menjaga alam sekitar, penduduk juga dapat menjana pendapatan sampingan,” jelas beliau.

Tambah Rozali, aktiviti kompos berkenaan secara tidak langsung dapat mengembalikan karbon ke dalam tanah sekaligus mengurangkan pemanasan global.

“Amalan seperti ini merupakan contoh terbaik dalam memulihara alam sekitar dan perlu dipraktikkan oleh semua dalam kehidupan seharian kita.

“Melalui penekanan konsep 4R iaitu Rethink, Reuse, Reduce dan Recycle yang diperkenalkan MPSP, ia diharap dapat menjana suatu transformasi yang positif terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Pada Januari hingga April lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit (MPSP) telah berjaya mengkompos 31,656.68 tan sisa organik dan menjimatkan kos sebanyak RM 639,464.86 untuk pelupusan sisa organik ke Tapak Pelupusan Pulau Burung, di sini.